fbpx

Suhaimi, Affidi diburu kes tetak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suhaimi (kiri) dan Affidi (kanan) dicari oleh IPD Padawan bagi kes pukul dan tetak.

PADAWAN – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan sedang mengesan dua lelaki bagi membantu siasatan kes pukul dan tetak sehingga menyebabkan kecederaan parah ke atas seorang lelaki di sebuah premis di Matang, di sini kira-kira pukul 1 pagi, 21 Ogos lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Padawan Deputi Superintendan Lim Jaw Shyong berkata, mereka dikenali sebagai Affidi @ Adi Jamani dan Suhaimi @ Pimping Jamani.

Katanya, Affidi berusia 34 tahun beralamat di No.3 Jalan Manggis, Kuching manakala Suhaimi berusia 28 tahun beralamat di B-11-13, PPR Kampung Baru Air Panas, Genting Kelang Setapak, Kuala Lumpur.

“Kedua-dua penama dikehendaki untuk membantu siasatan bersabit satu kes mendatangkan cedera parah dan merusuh di sebuah premis di Matang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, Lim berkata pihaknya mengalu-alukan orang ramai untuk tampil memberi kerjasama jika mempunyai maklumat mengenai kedua-dua individu berkenaan.

Katanya, maklumat boleh disalurkan kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan, ASP Sylvarius di talian 013-8637241 atau kepada pegawai penyiasat kes, Inspektor Nyaum Ringkai di talian 016-6793703 atau menghubungi balai polis yang berhampiran.

Sementara itu, IPD Padawan berjaya menahan lima lelaki tempatan berusia antara 20 hingga 45 tahun yang disyaki terbabit dalam kes berkenaan selepas pihaknya menerima laporan mengenai kejadian kira-kira pukul 1.16 petang, 21 Ogos lalu.

Katanya, kejadian yang turut tular di media sosial itu berlaku ketika mangsa lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 30-an bersama teman wanitanya sedang makan malam.

Katanya, mangsa kemudian didatangi kesemua suspek, dengan salah seorang suspek menuduh mangsa mempunyai hutang dengannya tetapi dinafikan mangsa.

“Kerana tidak puas hati dengan penafian mangsa, suspek kemudian membawanya keluar dari premis makan berkenaan lalu menyerang menggunakan kayu hoki sebelum dilibas dengan parang.

“Mangsa cuba melarikan diri tetapi tidak berjaya menyebabkannya mengalami luka di bahagian badan dan kaki akibat ditetak. Menyedari mangsa cedera, kelima-lima suspek melarikan diri,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI