fbpx
YUZRI (kanan) dan Siti Munirah tampil beri keterangan bagi membantu siasatan polis berhubung kematian seorang bayi perempuan di rumah pengasuh di Arau, baru-baru ini.

Kes bayi meninggal: Pasangan suami isteri beri keterangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ARAU – Pasangan suami isteri tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan kes kematian seorang bayi perempuan berusia lapan bulan di sebuah rumah pengasuh, di sini baru-baru ini.

Mohamad Yuzri Yaacob, 35, berkata, dia bersama isterinya, Siti Munirah Ghozali, 35, merupakan antara waris yang pernah menghantar anak mereka untuk dijaga di rumah pengasuh sama.

“Kami hadir bagi membantu siasatan polis berhubung kes melibatkan pengasuh tersebut yang menjaga anak kami bagi tempoh Februari hingga Disember tahun lalu.

“Saya boleh katakan terdapat unsur kecuaian apabila anak lelaki kami yang ketika itu berusia kira-kira enam bulan mengalami lebam pada tubuh badan selepas dimaklumkan terjatuh dari katil,” katanya kepada pemberita selepas memberi keterangan selama dua jam di Ibu Pejabat Polis Daerah Arau, di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan mereka tidak merekodkan sebarang bukti atau mengambil gambar berkaitan kecederaan yang dialami anak kedua pasangan itu.

Tambahnya, dia turut dimaklumkan oleh waris seorang lagi kanak-kanak yang mendakwa anak lelakinya yang ketika itu berusia sekitar enam bulan pernah ditinggalkan bersama seorang kanak-kanak berusia lima tahun.

“Waris tersebut memaklumkan bahawa anaknya ditinggalkan di rumah bersama seorang lagi kanak-kanak yang merupakan anak kami kerana pengasuh keluar menghantar anaknya ke sekolah.

“Kami merasakan adalah menjadi tanggungjawab untuk membantu pihak polis dalam siasatan kes ini serta berkongsi maklumat yang sewajarnya,” ujarnya.

Beliau turut berharap pihak polis menjalankan siasatan secara telus serta menggesa lebih ramai saksi tampil memberi keterangan bagi membantu menegakkan keadilan buat keluarga mangsa.

Kosmo! kelmarin melaporkan sepasang suami isteri dari Taman Sri Wang Fasa 1, di sini menuntut pembelaan selepas bayi perempuan mereka berusia lapan bulan meninggal dunia ketika berada di bawah jagaan pengasuh pada 15 April lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN