fbpx

Bilangan pasangan bercerai di Arab Saudi melonjak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
STATISTIK terbaharu menunjukkan angka perceraian di Arab Saudi melonjak. -- AGENSI

RIYADH, Arab Saudi – Lebih 350,000 perkahwinan di Arab Saudi berakhir dengan perce­raian pada tahun lalu, demikian menurut Laporan Wanita Saudi 2022 seperti dilaporkan akhbar The National kelmarin.

Menurut laporan tersebut, kadar perceraian tertinggi melibatkan pasangan suami isteri berusia 30 hingga 34 tahun. Le­bih 54,000 wanita dalam julat usia tersebut telah bercerai.

Menurut Kementerian Kehakiman, bilangan keseluruhan perkahwinan di Arab Saudi pula mencecah 150,117 dalam tahun 2020, meningkat 8.9 peratus berbanding 2019.

Bagaimanapun, angka perceraian tahun lalu menunjukkan peningkatan mendadak selepas 57, 595 kes perceraian direkodkan pada 2020.

Statistik sama juga menunjukkan keadaan wanita di Arab ­Saudi bertambah baik dengan pengangguran menurun 15.4 pe­ratus dalam suku keempat 2022 sekali gus lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Wanita menyaksikan pertumbuhan di luar jangkaan dan mereka menyumbang kepada semua sektor, daripada kewa­ngan, kesihatan dan pendidikan hinggalah kepada bidang astrofizik.

“Wanita Arab Saudi mengetuai perubahan di negara ini khusus­nya dalam kehidupan peribadi mereka termasuk perkahwinan atau perceraian. Kami bukan masyarakat konservatif seperti sangkaan ramai orang.

“Wanita membuat keputusan berhubung perkahwinan di Arab Saudi. Kami mempunyai lebih hak berbanding banyak negara lain di dunia,” kata pelajar pasca­siswazah jurusan perniagaan, Bayan Zahran kepada The National di Jeddah.

Peningkatan keseluruhan wanita dalam sektor pekerjaan pula menunjukkan penyertaan 36 peratus golongan tersebut, meningkat daripada 27.6 peratus dalam suku keempat 2021 kepada 30.4 peratus suku keempat tahun lalu.

“Kami memandu kereta kami sendiri ke tempat kerja baharu kami. Tiada siapa boleh menghalang kami,” kata seorang peniaga di Jeddah, Ragad Khalid.

Jumlah dokumen pekerjaan sendiri yang dikeluarkan kepada wanita juga meningkat secara dramatik dalam tahun 2021, me­lonjak kepada 961,189 berban­ding cuma 7,997 pada 2019.

Wanita Arab Saudi dibenar berdaftar sebagai bekerja sendiri dalam tahun 2018. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI