MELIHAT rakan lain bahagia bersama keluarga tersayang membuatkan seorang lelaki yang ingin dikenali sebagai Mizan berasa iri hati.
Dahulu, dia juga bahagia bersama keluarga, namun itu semua tidak berkekalan apabila rumah tangga yang dibina bersama isterinya musnah.
Rumah tangga Mizan musnah kerana campur tangan keluarga mentuanya.
“Saya cuba mempertahankan hubungan bersama isteri, saya tidak sanggup berpisah dengan anak-anak.
“Saya cuba bertahan, semakin saya bersabar, ‘permainan’ mereka untuk memisahkan saya dengan isteri lagi hebat,” katanya yang kini berusia awal 30-an.
Menceritakan tentang perkahwinannya, Mizan berkata, dia dan isterinya mencintai antara satu sama lain sejak berkenalan di universiti.
Isterinya berasal daripada keluarga berada, di mana bapanya memiliki syarikat sendiri. Selepas tamat pengajian di menara gading, isterinya mahu mereka terus berkahwin.
“Saya memintanya bersabar kerana ingin bekerja terlebih dahulu dan mengumpul wang sendiri, sebelum boleh melamarnya.
“Sebaliknya, isteri saya menyatakan bahawa saya tidak perlu risau kerana keluarganya akan menanggung sepenuhnya kos perkahwinan mereka,” jelasnya.
Mizan akur dengan permintaan isterinya untuk berkahwin selepas mendapat restu daripada kedua-dua belah keluarga.
Rezeki selepas berkahwin, Mizan diterima bekerja sebagai penjawat awam dan dihantar untuk bertugas di Sabah.
Dia turut membawa isteri dan dua anaknya tinggal bersama di Negeri Di Bawah Bayu itu.
Sepanjang berkahwin, Mizan menyedari bahawa dia perlu mendengar dan mengikut arahan daripada keluarga mentuanya.
Malah ketika mereka berdua ingin berpindah ke Sabah, keluarga mentuanya menghalang dan meminta dia pergi seorang diri saja.
“Saya berkeras untuk membawa isteri bersama. Sejak itu, hubungan saya dengan keluarga mentua mula menjadi renggang.
“Keluarga mentua menganggap saya berani melawan kata mereka,” jelasnya.
Menurut Mizan, disebabkan isterinya tidak bekerja, dia mengambil keputusan untuk membawanya bersama.
Pada mulanya, isterinya tidak mahu mengikuti Mizan kerana ingin tinggal bersama orang tuanya di kampung.
Namun, dia berkeras kerana menganggap tempat seorang isteri adalah di samping suami.
“Disebabkan saya memaksa isteri untuk ikut ke Sabah, ibu dan bapa mentua saya marah kepada saya. Ini kerana isteri saya merupakan anak perempuan kesayangan mereka.
“Malah, mereka meminta saya tidak menerima tawaran menjadi penjawat awam, sebaliknya mencari kerja berdekatan rumah mereka sahaja,” ujarnya.
Mizan tidak mempedulikan arahan keluarga mentuanya, dan dia tetap dengan keputusan yang telah dibuat.
Hal ini kerana, dia sebolehnya ingin menyara isteri dan anaknya dengan usaha dan titik peluh sendiri.
Sebelum ini, kehidupannya banyak dibantu oleh keluarga mentuanya sehingga menyebabkan dia berasa tidak selesa.
Ini kerana, dia perlu mengikuti setiap arahan mereka dan tidak boleh membuat keputusan sendiri sebagai ketua keluarga.
Setelah berpindah ke Sabah, hubungannya dengan isteri tidak lagi seperti dahulu.
Pernah satu ketika, pergaduhan mulut telah menyebabkan isterinya ‘lari’ pulang ke kampung halaman untuk tinggal bersama orang tuanya.
Disebabkan itu, Mizan terpaksa pulang ke Semenanjung memujuk isterinya untuk kembali tinggal bersama di Sabah.
“Saya meminta dia bersabar kerana apabila sampai waktunya saya akan memohon tukar kembali bekerja di kampung halaman.
“Namun dia tidak mendengar apa yang saya cakap.
“Sebaliknya, dia tetap pulang ke rumah orang tuanya ikut suka kerana tiket penerbangan ‘ditaja’ sepenuhnya oleh ibu dan bapanya,” ujar Mizan.
Selain itu, Mizan pernah bergaduh dengan bapa mentuanya kerana enggan mengikuti kehendak mereka.
Ujarnya, bapa mentuanya pernah meminta isteri dan anaknya tinggal bersama mereka di Semenanjung.
Namun, dia menghalang kerana menganggap isteri dan anaknya berada dalam tanggungjawabnya.
Sejak itu, keluarga mentuanya banyak mengungkit mengenai perkawhinannya bersama isteri yang ditaja oleh mereka.
Mizan cuba bertahan, namun lama-kelamaan banyak kata-kata yang kurang baik dilemparkan kepadanya.
Malah, isterinya juga seorang yang keras kepala kerana enggan mendengar cakap Mizan.
“Pernah satu ketika kami bergaduh besar. Saya cakap, jika isteri keluar rumah dan pulang ke rumah orang tuanya tanpa keizinan saya, maka akan jatuh talak kepadanya.
“Isteri saya tidak mempedulikan apa yang dikatakan oleh saya, dan dia keluar juga rumah tanpa keizinan saya,” jelasnya.
Disebabkan itu, perkahwinan mereka akhirnya musnah. Mereka kemudian sah berpisah di sebuah Mahkamah Syariah.
















