fbpx
Gambar hiasan

Arab Saudi cekap urus jutaan jemaah haji – Saifuddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kecekapan Kerajaan Arab Saudi menguruskan musim haji yang melibatkan kira-kira 1.7 juta jemaah dari 165 negara mendapat pujian susulan pelbagai persiapan dan kemudahan yang disediakan bagi memastikan kelancaran ibadah para Dhuyufurrahman di Tanah Suci.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau yang turut menunaikan ibadah haji tahun ini berpeluang menyaksikan sendiri kesungguhan serta tahap kesiapsiagaan kerajaan negara itu dalam menyediakan pelbagai kemudahan kepada para jemaah.

Menurutnya, pelbagai usaha dilakukan bagi memastikan perjalanan ibadah haji dapat dilaksanakan dengan selamat, teratur dan lancar.

“Sebagai salah seorang jemaah haji pada tahun ini, saya dapat melihat sendiri kesungguhan dan kecekapan pihak berkuasa Arab Saudi dalam menyediakan pelbagai kemudahan serta perkhidmatan bagi melancarkan perjalanan ibadah jutaan umat Islam.

“Saya amat menghargai komitmen berterusan Kerajaan Arab Saudi dalam memastikan para Dhuyufurrahman dapat menunaikan ibadah dengan selamat, teratur dan penuh ketenangan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Terdahulu, beliau menghadiri satu pertemuan yang dipengerusikan Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed bin Salman Al Saud bersama para pemimpin serta delegasi negara yang hadir menunaikan ibadah haji tahun ini.

Dalam sesi tersebut, Mohammed bin Salman berkongsi pelbagai persiapan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Arab Saudi untuk menguruskan jutaan jemaah dari seluruh dunia.

Menurutnya, pengurusan haji pada skala besar itu memerlukan perancangan teliti melibatkan aspek logistik, infrastruktur, keselamatan, kesihatan dan kebajikan jemaah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN