MEKAH – Lebih 1.5 juta jemaah dari seluruh dunia tiba di Arab Saudi untuk menunaikan ibadah haji tahun ini, dengan jumlah itu mengatasi statistik ketibaan antarabangsa pada tahun sebelumnya walaupun terdapat konflik berterusan di Asia Barat, lapor portal berita Daily Sabah.
Konflik yang tercetus susulan serangan Amerika Syarikat (AS)-Israel ke atas Iran pada akhir Februari lalu menyaksikan Tehran melancarkan beberapa gelombang serangan ke atas sasaran di Arab Saudi dan seluruh Teluk.
Tindakan itu sekali gus mencetuskan gangguan besar terhadap trafik udara serta menyebabkan kos perjalanan melonjak secara mendadak.
Syarikat penerbangan utama di Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Qatar dan Bahrain berusaha untuk memulihkan sebahagian besar kapasiti operasi mereka dengan pantas susulan penutupan ruang udara dan pembatalan penerbangan selama beberapa minggu.
Walaupun berdepan keadaan tersebut, jemaah haji membanjiri Arab Saudi untuk melaksanakan ibadah haji tahun ini.
“Jumlah keseluruhan jemaah haji yang tiba dari luar negara mencecah seramai 1.51 juta orang,” kata Komander Pasukan Pasport Haji Arab Saudi, Saleh Al-Murabba.
Angka itu dijangka terus meningkat ketika jemaah dari luar negara tiba menjelang kemuncak haji yang bermula pada hari ini..
Pada tahun lalu, jumlah keseluruhan jemaah haji mencecah seramai 1.67 juta orang termasuk 1.5 juta pengunjung dari luar Arab Saudi.
Haji merupakan salah satu daripada rukun Islam yang wajib dilaksanakan sekurang-sekurangnya sekali oleh setiap Muslim yang berkemampuan. – AGENSI














