fbpx

12,000 liter cecair disyaki diesel disita KPDN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota penguat kuasa KPDN memeriksan skid tank yang mengandungi cecair dipercayai diesel di sebuah kilang memproses batu kapur di Ipoh semalam

IPOH – Sebuah kilang dikenakan tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak semalam kerana menyimpan kira-kira 12,000 liter cecair yang disyaki minyak diesel dianggarkan bernilai RM33,000.

Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata, kira-kira pukul 12.10 tengah hari semalam, sepasukan pegawai dan anggota Penguat Kuasa KPDN Perak telah berjaya melaksanakan operasi pemeriksaan melalui Ops Tiris di sebuah kilang memproses batu kapur di Keramat Pulai Industrial Park, Mukim Sg. Raia di sini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati premis ini menjalankan aktiviti memproses batu kapur dan terdapat sebuah skid tank berada di dalam kawasan premis.

“Hasil pemeriksaan lanjut menemui anggaran sebanyak 12,000 liter cecair yang disyaki minyak diesel berada di dalam skid tank tersebut.

“Ketika pemeriksaan, seorang lelaki tempatan berumur 58 tahun yang mengaku sebagai pengurus tapak gagal mengemukakan sebarang lesen atau permit barang kawalan berjadual minyak diesel apabila diminta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, kesemua barangan seperti dokumen dan cecair yang disyaki minyak diesel dengan anggaran sebanyak 12,000 liter disita dan lelaki tersebut ditahan untuk siasatan lanjut.

Kamalludin berkata, nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM33,000 dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

“Siasatan lanjut turut dilaksanakan ke atas syarikat pembekal minyak diesel ini dan tindakan penguatkuasaan akan dikenakan ke atas pembekal kerana disyaki melanggar peraturan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Peraturan dilanggar ialah menjual barang kawalan kepada orang atau pihak yang tidak mempunyai lesen, surat kuasa atau kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan Malaysia,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI