KUNDASANG – Pelarasan had kuota tetap Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) membabitkan setiap fleet card akan mempunyai kuota tetap di antara 900 hingga 5,000 liter sebulan berkuat kuasa 1 Jun ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, ia melibatkan sektor pengangkutan darat barangan bagi mengekang ketirisan dan penyalahgunaan fleet card.
“Ia tertakluk kepada had kuota yang ditetapkan bagi setiap 23 jenis kenderaan sektor pengangkutan darat barangan.
“had kuota berpandukan analisa penggunaan jenis pengangkutan dalam dua tahun terkini tempoh pelaksanaan SKDS,” katanya.
Menurut Armizan rayuan pertambahan kuota tetap boleh dibuat kepada Jawatankuasa Kelulusan Subsidi Petroleum secara e-mel [email protected] atau di kaunter KPDN.
Tambahnya, pertimbangan akan mengambil kira justifikasi keperluan sebenar operasi dan rekod penggunaan bulanan sedia ada dalam sistem SKDS.
Sementara itu, Armizan berkata pihak kementerian juga menggalakkan syarikat-syarikat sektor pengangkutan darat awam, sektor pengangkutan darat barangan dan sektor pengangkutan awam air yang belum memanfaatkan subsidi petrol dan diesel.
“Sebarang penyalahgunaan akan berhadapan dengan penggantungan fleet card secara serta-merta dan syarikat yang terlibat akan disenarai hitam,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE.














