fbpx

BSH bukti kerajaan komited jaga kebajikan penjawat awam – Cuepacs

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Pemberian Bantuan Sara Hidup (BSH) RM300 sebulan kepada Veteran Tidak Berpencen bermula usia 60 tahun, merupakan manifestasi bahawa kerajaan komited dalam menjaga kebajikan penjawat awam.

Presiden Cuepacs Datuk Adnan Mat berkata, usaha itu membuktikan bahawa kerajaan benar-benar serius untuk melihat semula kadar upah dan gaji yang diterima penjawat awam.

Kata Adnan, penjawat awam dinasihati supaya memberi ruang serta kepercayaan yang penuh kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk merangka usaha berkenaan.

“Pengumuman kerajaan untuk memberikan pencen RM300 kepada veteran tidak berpencen pada usia 60 tahun ke atas tidak pernah berlaku dalam sejarah dan ia adalah suatu kesungguhan bahawa Perdana Menteri akan melakukan perkara sama dalam menjaga kebajikan warga penjawat awam.

“Perkara ini sebenarnya sudahpun dilakukan apabila kerajaan tetap meneruskan pemberian Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) tambahan khas RM100 bermula Januari lalu serta pemberian bantuan khas lain kepada penjawat awam, termasuk rebat RM10 sebulan bagi langganan pakej pasca bayar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, kerajaan bersetuju memperluaskan BSH sebanyak RM300 sebulan kepada Veteran Tidak Berpencen bermula usia 60 tahun berbanding ia hanya dinikmati pada usia 80 tahun sebelum ini.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dilaporkan berkata, insentif itu berkuat kuasa bulan depan dan akan memberi faedah kepada 41,970 orang membabitkan implikasi kewangan tambahan sebanyak RM151.1 juta setahun.

Dalam pada itu, Adnan berkata, kerajaan terbukti menunjukkan kesungguhan dalam merangka Sistem Saraan Malaysia (SSM) baharu yang komprehensif dengan mewujudkan jawatankuasa khas.

“Cuepacs menghargai komitmen kerajaan dalam meneliti semula sistem saraan perkhidmatan awam apabila mewujudkan jawatankuasa khas bagi membuat kajian.

“Kita berpuas hati apabila sesi libat urus ini menerima pandangan semua pihak yang mana setiap kluster diketuai oleh ketua setiausaha, yang bertanggungjawab memastikan pembabitan semua kementerian, jabatan dan wakil pekerja termasuk pihak kesatuan secara inklusif,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI