PADANG BESAR – Kawasan perniagaan di Padang Besar di sini yang popular sebagai pusat beli-belah kini didapati telah menjadi lubuk emas kepada warga Thailand yang menguasai hampir keseluruhan premis di kawasan berkenaan.
Difahamkan, lebih 70 peratus daripada kira-kira 500 premis perniagaan di Arked Niaga Padang Besar dan Padang Waremart di sini diusahakan oleh peniaga Thailand dengan sebahagiannya dilakukan secara amalan ‘Ali Baba’ atau sewa atas sewa.
Peniaga dari negara jiran itu juga dikatakan berebut-rebut untuk mendapatkan tapak perniagaan di Padang Besar kerana suasana perniagaannya yang lebih rancak berbanding di negara mereka.
Kebiasaannya, ‘tauke-tauke’ dari Thailand itu akan mengaku sebagai pekerja dan bukannya pemilik kedai bagi mengaburi kehadiran mereka daripada pihak berkuasa.
Antara perniagaan yang dijalankan peniaga Thailand ini termasuklah produk berasaskan makanan, barang dapur dan pakaian.
Seorang peniaga tempatan di Arked Niaga Padang Besar dikenali sebagai Salma, 50, mendakwa, amalan sewa atas sewa itu sebenarnya sudah lama berlaku dan menjadi amalan kebanyakan peniaga di kawasan tersebut.
“Di arked niaga ini, kebanyakan premis niaga diusahakan oleh orang Thailand, mereka (warga Thailand) berniaga di lot kedai, manakala peniaga tempatan hanya berniaga di kiosk.
“Saya difahamkan mereka sewa atas sewa dengan penyewa tempatan, malah ada yang dakwa sudah ‘beli’ tapak kedai,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Salma yang menjual produk makanan ringan dan pakaian menambah, rata-rata peniaga dari Thailand juga akan bersaing sesama sendiri untuk datang dan berniaga di Padang Besar memandangkan lokasi berkenaan mampu memberi keuntungan kepada mereka.
“Ada yang sanggup gadai tanah untuk bayar deposit sewa premis perniagaan di sini, sedangkan orang kita pula mengambil jalan mudah dengan menyewakannya semula kepada warga asing.
“Sebenarnya, isu ini sudah lama berlaku. Namun, saya tidak mahu menafikan bahawa kehadiran peniaga-peniaga Thailand ini sebenarnya merancakkan lagi perniagaan di sini,” jelasnya.
Ujarnya, tanpa peniaga Thailand, perniagaan di situ akan menjadi suram kerana kebanyakan peniaga tempatan tidak bertahan lama.
“Apa yang boleh saya katakan, perniagaan di sini tidak serancak dahulu. Kalau dulu, saya mampu dapat jualan sehingga RM1,000 sehari pada hujung minggu, namun sekarang ini nak dapat RM200 pun susah,” tambahnya.
Seorang lagi peniaga tempatan yang mahu dikenali sebagai Razali, 50, berkata, amalan sewa atas sewa telah berlaku sejak puluhan tahun lalu.
Katanya, ia berlaku apabila terdapat peniaga tempatan mendapat lot niaga dan lesen perniagaan, namun memberi atau menyewakan kemudahan tersebut kepada peniaga dari negara jiran.
“Keadaan ini menyebabkan sangat kurang peniaga tempatan yang berniaga terutama di kompleks-kompleks perniagaan di sini. Kita harap pihak bertanggungjawab dapat memastikan peniaga tempatan juga diberi peluang untuk berniaga terutama di kompleks baharu, Arked Ria Padang Besar nanti. Kita tidak mahu peniaga Thailand terus mendominasi perniagaan di sini,” katanya.
Tambah Razali, situasi berkenaan turut menyumbang kepada aliran keluar mata wang negara kerana peniaga negara jiran akan menukarkan perolehan Ringgit Malaysia kepada Thai Baht.














