fbpx

Rapid Bus melalui transformasi pendigitalan untuk lebih efisien

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Yazurin (kiri) dan Ketua Pegawai Operasi Bas Rapid, Ku Jamil Zakaria meninjau bilik operasi Pusat Kawalan Rapid Bus, Kuala Lumpur baru-baru ini.

SERDANG – Rapid Bus Sdn. Bhd. (Rapid Bus) komited untuk memberi perkhidmatan terbaik melalui transformasi pendigitalan secara komprehensif buat penumpang­nya menerusi beberapa inisiatif.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Muhammad Yazurin Sallij berkata, dalam usaha itu pasukan teknologi maklumat (IT) pihaknya telah mencipta sistem maklumat pelanggan ataupun Passenger Info System (PIS).

Katanya, PIS adalah satu panel informasi digital yang ditempatkan di hentian bas bagi membantu penumpang melihat waktu ketibaan dan pelepasan bas yang disediakan.

“Ketika ini, sistem PIS telah ditempatkan di hentian bas yang terpilih dengan menggunakan format paparan LED (diod pemancar Cahaya).

“Pasukan kami juga merancang akan menaik taraf fungsi itu kepada paparan LCD (paparan kristal cecair) dan projek perintisnya akan dilaksanakan di hentian bas Menara UOA, Bangsar,” ujarnya.

Tambah Muhammad Yazurin, pada tahun lalu juga Rapid Bus telah melancarkan perkhidmatan bas perantara on-demand atau Demand Responsive Transit (DRT) yang mana penumpang boleh menempah sendiri pengangkutan awam untuk pergi ke stesen LRT.

“Perkhidmatan ini dilancarkan dengan kerjasama rakan kongsi teknologi lain iaitu aplikasi Kumpool di kawasan terpilih.

“Melalui tempahan itu, penumpang akan dijemput menaiki sebuah van khas yang disediakan oleh Rapid Bus sebelum dibawa ke stesen LRT.

“Kemudahan tersebut masih lagi berfungsi dan kini beroperasi secara rasmi di LRT Alam Megah di mana laluan bas perantara di kawasan tersebut yang sebelum ini mencatatkan sekitar 20 penum­pang, kini telah meningkat sehingga 60 ke 70 orang sehari,” ujarnya.

Kata beliau, perkhidmatan itu antara lain dapat menyingkatkan masa penumpang untuk ke ste­sen LRT kerana van berkenaan tidak akan membuat pusingan bagi mengambil ataupun menurunkan penum­pang di ste­sen-stesen bas seperti kebiasaannya.

“Van tersebut bertindak sebagai bas perantara, justeru itu tambang yang dikenakan masih RM1 dan mod pembayaran adalah tanpa tunai (cashless).

“Justeru, tambang boleh dibayar menggunakan kad Touch n’ Go, Pas Perjalanan Tanpa Had My50 dan Kad Konsesi MyRapid.

“Susulan sambutan baik itu juga, pada Mei lalu, Rapid Bus telah melancarkan model operasi yang sama di laluan T789, LRT Universiti dengan kerjasama aplikasi Trek Rides dan dimanfaatkan oleh ramai pelajar dari Universiti Malaya (UM) dan Institut Pengajian Tinggi (IPT) berhampiran,” tambahnya.

Bagi melancarkan perkhidmatan disediakan, syarikat induk Ra­pid Bus, Kumpulan Prasarana turut memperkenalkan aplikasi Pulse yang direka khas untuk membantu orang ramai di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kuantan yang mahu menggunakan pengangkutan awam.

“Bukan sahaja dicipta untuk memudahkan penumpang me­rancang perjalanan, aplikasi itu juga membantu menyampaikan maklumat yang tepat mengenai pergerakan pengangkutan awam di sekitar mereka termasuk kos tambang yang diperlukan.

“Sehingga kini, hampir setengah juta aplikasi tersebut sudah dimuat turun dengan jumlah pengguna harian yang aktif kini mencatatkan sekitar 77,000 orang,” katanya.

Sementara itu, bercakap mengenai rancangan untuk menggalakkan lebih ramai pelanggan menggunakan perkhidmatan disediakan, Muhammad Yazurin berkata, pihaknya mahu memastikan pergerakan bas boleh tiba tepat pada waktu seperti yang dimaklumkan.

“Kita mahu bas-bas yang disediakan tiba tepat pada waktunya, supaya penumpang boleh me­rancang perjalanan mereka dan pergerakan ke destinasi berjalan dengan lancar.

“Oleh itu, Rapid Bus juga kini giat melaksanakan satu lagi lorong ataupun laluan khas untuk bas di Jalan Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini yang ternyata mampu memberi penambah­baikan kepada pergerakan bas-bas kami,” katanya.

Menurut Muhammad Yazurin, sejak laluan itu dilancarkan, tempoh perjalanan terbukti dapat menjimatkan masa hingga 25 minit, malah jumlah penumpang juga meningkat sebanyak 10 peratus.

“Memang laluan khas untuk bas ini ada impak yang positif, justeru itu pihak kami sedang berusaha untuk mengekalkan momentum ini bagi memberikan perkhidmatan lebih efisien kepada penum­pang.

“Pembukaan lorong bas di Jalan Ampang baru-baru ini juga membuahkan hasil apabila sebelum ini terdapat kira-kira 12,000 penumpang ke pusat bandar, sekarang jumlahnya mencapai sekitar 14,000 penumpang,” tambah beliau.

Katanya, pembukaan lorong bas terutama di jalan yang sibuk perlu dikekalkan dan mendapat kerjasama daripada pihak-pihak berkuasa.

“Kewujudan lorong bas di Jalan Ampang sehingga Jalan Tun Razak kini membolehkan Rapid Bus menyediakan sebuah bas setiap tiga minit dan kini kami meletakkan sasaran setiap jam sekitar 26 buah bas akan lalu jalan itu.

“Usaha seperti inilah yang kami mahu teruskan dan pastikan ia benar-benar menjadi,” katanya.

Dalam pada itu, menjawab persepsi orang ramai berhubung ketepatan masa perkhidmatan bas yang disediakan berbanding pengangkutan awam lain katanya, pihaknya tidak dapat menafikan pertambahan jumlah trafik yang meningkat selepas pandemik Covid-19.

“Ketika ini, trafik di sekitar kawasan Kuala Lumpur semakin bertambah berbanding seperti sebelum pandemik Covid-19.

“Malah data daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur merekodkan purata sebelum pandemik terdapat kira-kira 4.5 juta ken­deraan memasuki Kuala Lumpur setiap hari berbanding sekarang bilangan itu mencecah sehingga enam juta kenderaan.

“Bila meningkatnya kenderaan atas jalan, bas juga tidak dapat mengelak daripada tersangkut dalam kesesakan lalu lintas.

“Sekiranya bilangan bas ditambah sekalipun, perkara itu tidak akan membantu sepenuhnya,” ujarnya.

Muhammad Yazurin memaklumkan, penumpang Rapid Bus kini hanya 50 peratus daripada jumlah sebelum pandemik Covid-19.

“Tetapi, dalam masa yang sama pihak kami telah menyediakan bas sebanyak 75 peratus, bermaksud persediaan kami sentiasa ke depan supaya ‘supply’ lebih daripada ‘demand’.

“Selain itu, Rapid Bus juga ­menyediakan dua jenis perkhidmatan iaitu bas perantara yang membawa penumpang ke ste­sen-stesen LRT dan transit aliran massa (MRT), sementara satu lagi ialah bas yang tidak pergi ke ste­sen-stesen berkenaan.

“Bagi bas perantara, kami memberi jaminan bahawa 90 pe­ratus ketepatan masa telah dicapai berikutan masalah kekurangan kapten bas sudah dapat ditangani,” katanya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI