ADA orang menyangka kemajuan boleh dibina dengan simen, besi dan konkrit. Sebab itu apabila laluan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) siap, ramai menganggap Klang dan Shah Alam kini melangkah jadi bandar moden.
Hakikatnya, bandar moden tidak pernah lahir daripada landasan. Ia lahir daripada manusianya. Membina LRT mungkin mengambil masa bertahun-tahun dan menelan belanja berbilion ringgit. Tetapi membina adab tidak pernah memerlukan tender.
LRT3 bukan sekadar membawa penumpang dari Johan Setia ke Bandar Utama. Ia membawa satu budaya baharu kepada masyarakat yang selama ini lebih akrab dengan stereng daripada pemegang tangan dalam gerabak. Di sini ujian bermula.
Masih ada yang melangkah masuk ke dalam tren dengan perangai ditinggalkan di dalam kereta. Makan dan minum sesuka hati, memainkan video tanpa fon telinga, berbual di telefon sehingga satu gerabak mengetahui jalan cerita hidupnya, membawa barangan basah menguasai ruang dengan bau hanyir, malah duduk mengangkang seolah-olah kerusi di sebelah turut dibayar.
Yang pelik, apabila ditegur, yang salah pula orang yang menegur. Kita sering memuji negara seperti Jepun kerana kereta apinya bersih, Singapura kerana sistemnya tersusun dan Korea Selatan kerana penggunanya berdisiplin.
Kita terlupa satu perkara menjadikan sistem mereka hebat bukan tren itu sendiri, yang membezakan ialah adab manusia di dalamnya.
Timbalan Mufti Negeri Pahang, Datuk Dr. Badli Shah Alauddin sering menekankan bahawa adab di tempat awam adalah cerminan akhlak seseorang individu.
Prinsip asas dan panduan adab di tempat awam yang sering dikongsi oleh beliau merangkumi memakai pakaian yang tidak mencolok mata,
bersih, serta sesuai dengan norma dan budaya setempat.
“Menjaga tutur kata dan bunyi iaitu mengelakkan perbualan yang terlalu nyaring sehingga mengganggu orang lain, mengelakkan kata-kata kesat, serta mengawal nada dering telefon bimbit.
“Menghormati orang lain, memberikan tempat duduk kepada golongan yang memerlukan (seperti warga emas atau wanita mengandung) dan bertolak ansur ketika beratur, selain memastikan kawasan awam tidak dikotori dan sentiasa membuang sampah di tempat disediakan,” jelas beliau.
Di Kuala Lumpur, Ampang, Gombak, Petaling Jaya atau Subang Jaya, pengguna LRT pernah melalui proses pembelajaran. Pada awal pengenalan, pelbagai kerenah turut berlaku. Namun selepas hampir tiga dekad, budaya menggunakan pengangkutan awam semakin matang.
Beratur sebelum masuk, memberi laluan kepada penumpang keluar, menggunakan fon telinga dan menjaga kebersihan kini menjadi kebiasaan.
Sudah tentu masih ada yang melanggar adab, tetapi mereka menjadi pengecualian, bukan identiti. Klang dan Shah Alam kini sedang melalui fasa sama. Bezanya, masyarakat hari ini tidak bermula dari kosong. Contohnya sudah ada, tidak perlu mengulangi kesilapan sama hanya kerana berasakan semuanya perkara kecil.
Perkara kecil itulah membentuk tamadun, sebuah negara tidak rosak kerana seorang penumpang membuka muzik dengan kuat. Apabila ribuan orang beranggapan perkara itu biasa, ketika itu budaya menghormati orang lain mula runtuh sedikit demi sedikit.














