KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan akan menilai semula kekerapan perkhidmatan Laluan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) sekiranya jumlah penumpang dalam tempoh sebulan pertama ini menunjukkan peningkatan.
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, tempoh menunggu sekitar lapan minit pada waktu puncak ketika ini ditetapkan berdasarkan reka bentuk operasi sedia ada.
Justeru, beliau berkata kementerian mahu melihat corak penggunaan terlebih dahulu sebelum sebarang perubahan dibuat.
“Memang dari segi reka bentuk dan sebagainya, jumlah tren yang disediakan pada ketika ini ialah 7.5 minit pada waktu puncak.
“Jadi kita kena lihat trend penggunaannya dan sudah tentu seperti yang saya katakan, bila kita mendapat trend tambahan, maka kekerapan itu boleh dilihat balik,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Program Pemandu Sihat dan Selamat (PSS) di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan sesetengah pengguna yang berpendapat tempoh menunggu sekitar lapan minit bagi perkhidmatan LRT3 masih agak lama.
Siew Fook berkata, kementerian akan memantau jumlah penumpang sepanjang bulan pertama operasi sebelum meminta Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) membuat penilaian semula terhadap jadual perjalanan tren jika diperlukan.
“Pada ketika ini kita lihat dulu dalam sebulan ini. Kalau trend penggunaannya meningkat pada waktu-waktu yang ramai penumpang, kita akan minta Prasarana untuk melihat balik jadual yang ditetapkan,” katanya.
LRT3 yang menghubungkan Bandar Utama dan Johan Setia mula beroperasi kepada orang ramai semalam dengan menawarkan kekerapan sekitar 7.5 hingga lapan minit pada waktu puncak mengikut jadual operasi sedia ada.
Laluan sepanjang 37.8 kilometer itu mempunyai 20 stesen yang menghubungkan Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang serta dijangka memberi manfaat kepada kira-kira dua juta penduduk di koridor berkenaan.
Sempena pembukaannya, tambang percuma ditawarkan sehingga 31 Julai ini. – KOSMO! ONLINE














