fbpx

Johor Port, PT Pelindo Jasa Maritim perkukuh sektor maritim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Majlis pemeteraian perjanjian antara Johor Port dan PT Pelindo Jasa Maritim di Johor Bahru, baru-baru ini.

PETALING JAYA – Johor Port Berhad (Johor Port), ahli Kumpulan MMC memeterai perjanjian dengan PT Pelindo Jasa Maritim untuk meningkatkan sektor maritim dan memupuk hubungan dua hala yang lebih kukuh antara kedua-dua organisasi.

Majlis Menandatangani Perjanjian berlangsung pada 28 Julai lalu di Hotel Renaissance, Johor Bahru yang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Johor Port, Md. Derick Basir dan Pengarah Sumber Manusia PT Pelindo Jasa Maritim, Rachmat Prayogi.

PT Pelindo Jasa Maritim merupakan anak syarikat kepada PT Pelabuhan Indonesia (Persero) yang mengendalikan penyediaan perkhidmatan marin, penyelenggaraan peralatan pelabuhan dan perkhidmatan utiliti pelabuhan.

Ia turut memainkan peranan penting dalam menyokong industri maritim di Indonesia dan memudahkan perdagangan dan pengangkutan melalui aktiviti berkaitan pelabuhan.

Dalam perjanjian yang dimeterai, Johor Port melalui JP Skills Centre (JPSC) yang menyediakan latihan kepada pelabuhan tempatan dan serantau, serta Jabatan Perkhidmatan Marin yang menyediakan rangkaian penuh perkhidmatan marin untuk semua kapal di dalam Had Pelabuhan Pasir Gudang akan meneroka potensi kerjasama dan peluang bersama PT Pelindo Jasa Maritim di dalam bidang berikut:

1. Perkhidmatan pembangunan modal insan untuk meningkatkan potensi sedia ada khususnya dalam bidang maritim;

2. Kerjasama pengendalian perkhidmatan dalam bidang marin, peralatan dan pelabuhan (MEPS); dan

3. Kerjasama pembangunan pemasaran dalam bidang MEPS.

Md. Derick berkata, kerjasama berkenaan merupakan lembaran baharu dalam hubungan maritim antara kedua-dua negara.

“Kami juga percaya bahawa dengan memanfaatkan kekuatan kolektif bersama, kami boleh mewujudkan sinergi yang akan memberi manfaat kepada seluruh komuniti maritim,” katanya dalam satu kenyataan.

Johor Port adalah sebahagian daripada pengendali pelabuhan terbesar di Malaysia yang mempunyai pengalaman lebih 40 tahun dan pelbagai kepakaran dalam pengurusan pelabuhan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI