fbpx

Buruh binaan berdepan penjara 20 tahun cuba rasuah polis RM195

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohiuddin (kiri) ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Shah Alam. -Foto oleh SADDAM YUSOFF

SHAH ALAM – Gara-gara cuba merasuah anggota polis sebanyak RM195 membuatkan seorang buruh binaan berdepan penjara 20 tahun apabila didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini.

Tertuduh, Md. Mohiuddin, 50, yang merupakan warga Bangladesh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Inggeris di hadapan Hakim Datuk Anita Harun.

Berdasarkan pertuduhan, Mohiuddin didakwa telah menawarkan rasuah RM195 kepada anggota polis berpangkat lans koperal dari unit kereta peronda Ibu Pejabat Polis Daerah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Tawaran rasuah itu agar tertuduh tidak disaman kerana meletakkan kenderaan di atas garisan kuning di tepi jalan KLIA kira-kira pukul 5.10 petang pada 30 Januari tahun lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24 akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Siti Amirah Muhammad Ali mencadangkan jaminan RM5,000 bersama dua penjamin dan syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri sebulan sekali ke pejabat SPRM berhampiran.

Mohiuddin tidak diwakili peguam memohon jaminan dikurangkan ekoran hanya bekerja sebagai buruh binaan dan mempunyai darah tinggi selain isterinya tidak bekerja.

Mahkamah membenarkan jaminan RM3,000 bersama dua penjamin dan membenarkan syarat tambahan pihak pendakwaan.

Sebutan semula kes pada 17 Ogos depan. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI