KLANG – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) akan dilengkapi dengan penggunaan senjata sebelum hujung tahun ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan mengenai keperluan itu dicapai kerajaan menerusi beberapa mesyuarat Jemaah Menteri sebelum ini.
Menurutnya, antara pilihan persenjataan yang diteliti termasuk penggunaan senjata renjatan elektrik (taser gun) dan senjata api ringan seperti pistol.
“Kedua-dua pilihan berkaitan aspek pelaksanaan dan jenis persenjataan itu sedang diperhalusi sebelum dimuktamadkan.
“Dari segi tempoh dan fasa pelaksanaan, kita perhalusi sama ada taser gun atau pistol digunakan dahulu atau dilaksanakan serentak,” katanya selepas merasmikan program pemuliaan al-Quran di sekitar perairan Pelabuhan Klang di sini, hari ini.
Kosmo! pada Februari lalu melaporkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyokong keperluan penggunaan senjata dalam kalangan pegawai AKPS bagi memperkukuh aspek keselamatan ketika melaksanakan tugas di pintu masuk negara.
Mengulas lanjut, kata Saifuddin, kerajaan tidak mahu berlaku sebarang kelewatan dalam pelaksanaan inisiatif itu.
“Saya telah maklumkan kepada Ketua Setiausaha KDN supaya perkara itu tidak boleh dilengahkan kerana tugas AKPS berdepan berbahaya pelbagai ancaman,”ujarnya.- KOSMO! ONLINE.














