PETALING JAYA – Bulan Mei 2026 menjadi antara bulan paling ‘meriah’ dengan cuti di Malaysia apabila kalendar menunjukkan beberapa hari kelepasan am dan cuti sekolah bertindih, sekali gus membuka peluang kepada orang ramai merancang percutian panjang.
Berdasarkan perkongsian yang tular di media sosial, bulan tersebut bermula dengan cuti umum Hari Pekerja pada 1 Mei, diikuti hujung minggu pada 2 dan 3 Mei menjadikan cuti minggu selama tiga hari berturut.
Lebih menarik, tempoh cuti sekolah pula dijadualkan bermula 22 Mei hingga 6 Jun, menjadikan ruang percutian lebih panjang khususnya bagi keluarga yang mempunyai anak bersekolah.
Dalam tempoh sama, sambutan Hari Raya Aidiladha dijangka jatuh pada 27 dan 28 Mei, manakala 31 Mei pula merupakan cuti Hari Wesak.
Rangkaian cuti ini kemudian disambung lagi dengan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong pada 1 Jun 2026.
Gabungan cuti umum, cuti sekolah dan hujung minggu ini menjadikan penghujung Mei hingga awal Jun sebagai tempoh ‘long holiday’ yang dinanti-nantikan ramai.
Tinjauan di media sosial mendapati rata-rata pengguna sudah mula merancang destinasi percutian, sama ada pulang ke kampung, bercuti dalam negara atau ke luar negara.
“Bulan Mei memang syok, banyak cuti boleh plan awal,” kata Sarah.
“Simpan cuti sesiap, bulan depan boleh rancang bawa anak-anak berjalan, dua minggu cuti sekolah. Tolong cadangakn percutian bajet (murah) untuk lima beranak,” ujar AienZaty. – KOSMO! ONLINE














