fbpx
Bekas pemandu bas dan kekasihnya selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Jasin hari ini. Foto oleh AMRAN ALI/KOSMO!

Pasangan ‘riba’ dalam bas ke penjara, denda RM10,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JASIN – Bekas pemandu bas dan kekasihnya yang tular memandu kenderaan itu sambil melakukan aksi riba masing-masing dijatuhi hukuman 12 bulan dan enam bulan penjara serta denda RM5,000 oleh  Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Mazana Sinin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Arif Fahmi Abd. Salam, 36, dan Nur Adila Najwa Ilham Ameerullah, 21, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dihadapi mereka.

Mengikut pertuduhan, tertuduh secara bersama-sama sebagai pemandu bas dengan nombor pendaftaran APE 9588 memandu kenderaan tersebut dengan cara berbahaya kepada orang awam.

Perbuatan dilakukan pada pukul 7.30 malam, di susur keluar Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Bemban, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan pada Ahad lalu. Oleh itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Pindaan 2020) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga lima tahun, denda RM5,000 hingga RM15,000 selain hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama lima tahun dari tarikh sabitan.

Dalam prosiding sama, Nur Adila turut didakwa atas tuduhan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 kerana mengeluarkan kata-kata kesat dan menghina seorang penumpang wanita berusia 44 tahun.

Kesalahan itu dilakukan di dalam bas Sri Maju Ekspres nombor pendaftaran sama sehingga mengganggu ketenteraman mangsa pada pukul 6 petang hari dan di lokasi sama. Sabit kesalahan, gadis itu boleh didenda sehingga RM100.

Terdahulu, Arif Fahmi merayu agar hukuman ke atasnya diringankan dengan alasan dia hilang sumber pendapatan kerana dibuang kerja dan masih perlu memberi kerjasama kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi kes sama.

Tambahnya, kejadian itu merupakan kesalahan pertama mereka dan sedar ia memberi impak yang merugikan diri sendiri.

Nur Adila pula dalam rayuannya mahu menyambung pengajian selepas berhijrah dari Kedah ke Kuala Lumpur kerana ingin mencari wang bagi tujuan tersebut.

Pihak pendakwaan yang diwakili Mohd. Asri Abd. Rahman Sidik dan Syazwani Mohamad Yusri bagaimanapun memohon hukuman berat di bawah Seksyen 42(1) APJ iaitu penjara sehingga lima tahun dan denda maksimum RM15,000 bagi mencerminkan keseriusan kes tersebut.

Hujahnya, tertuduh turut mencetuskan kegusaran orang awam selain mempertaruhkan nyawa 27 penumpang dengan aksi berbahaya tersebut sama sekali tidak boleh diterima.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua belah pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman 12 bulan penjara dan denda RM5,000 atau penjara tambahan dua bulan jika gagal bayar terhadap Arif. Nur Adila pula dihukum penjara enam bulan dan denda RM5,000 atau penjara tambahan dua bulan penjara jika gagal bayar.

Kesemua hukuman itu berjalan bermula dari tarikh sabitan. Mahkamah turut memerintahkan lesen memandu kedua-dua tertuduh digantung lima tahun. Bagi tuduhan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil, Nur Adila didenda RM100 atau 14 hari penjara jika gagal bayar.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN