JASIN – Bekas pemandu bas ekspres bersama kekasihnya akan didakwa di Mahkamah Majistret di sini pagi ini berhubung video tular memaparkan aksi meriba ketika memandu bas melalui susur masuk di kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Bemban arah selatan.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, lelaki berusia 36 tahun dan wanita berusia 21 tahun itu akan dibawa ke mahkamah selepas arahan pertuduhan diperoleh daripada pihak pendakwaan.
“Timbalan Pendakwa Raya telah memberikan arahan pertuduhan dan kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Jasin.
“Kedua-dua suspek akan dituduh berdasarkan siasatan yang dijalankan susulan maklumat diperoleh pihak polis,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Semalam, Kosmo! melaporkan bekas pemandu bas ekspres dan kekasih yang tular diriba direman selama empat hari bermula hari ini.
Perintah reman sehingga Ahad itu dikeluarkan Majistret Mahkamah Jasin, Mazana Sinin terhadap suspek yang masing-masing berusia 36 dan 21 tahun.
Ia bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya.
Terdahulu, kedua-duanya dilihat tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Jasin kira-kira pukul 9 pagi tadi.
Insiden tersebut mencetuskan kecaman ramai selepas video berdurasi lapan saat tular di media sosial Isnin lalu.
Rakaman itu memaparkan pemandu bas berkenaan meriba seorang wanita ketika memandu bas dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur ke Larkin, Johor Bahru.
Kejadian dipercayai berlaku ketika bas tersebut menghampiri susur masuk kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bemban, arah selatan kira-kira pukul 7.30 malam, Ahad lalu. – KOSMO! ONLINE






