fbpx
Hareeff (dua dari kiri) pada majlis pelancaran penjenamaan semula PIL di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Penjenamaan semula PIL demi perkukuh kedudukan pasaran, rentas pasaran global

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Premier Integrated Labs (PIL) dahulunya dikenali sebagai Pantai Premier Pathology, salah satu anak syarikat di bawah IHH healthcare Berhad (IHH) telah melancarkan penjenamaan semulanya bagi memberi ruang kepada syarikat untuk berkembang dan mengukuhkan kedudukan di pasaran tempatan dan juga ke luar negara pada masa depan.

Sebagai salah satu penyedia perkhidmatan makmal diagnostik terkemuka di negara ini, syarikat memfokuskan kepada ujian diagnostik khusus seperti bidang diagnostik molekul, sitogentik, jujukan genom, histologi dan kesihatan keluarga.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hareeff Muhammad, ini adalah masa yang bertepatan untuk syarikat melancarkan penjenamaan semula seiring dengan kematangan syarikat yang telah beroperasi selama 26 tahun dengan melalui pelbagai cabaran, pengalaman, kejayaan dan terbaharunya berdepan dengan pandemik Covid-19.

“Perkhidmatan yang popular dalam kalangan pelanggan adalah dalam bidang high end testing dan menurut seorang doktor pakar baru-baru ini, hampir 95 peratus sampel yang dihantar kepada kami adalah untuk sampel yang berkaitan dengan kanser.

“Ini kelebihan kami kerana syarikat memiliki pelbagai kelengkapan dan mesin serta disokong tenaga kerja termasuk pakar, doktor dan kakitangan lain dalam bidang ini,” katanya dalam satu temu bual eksklusif bersama wartawan Kosmo! ketika ditemui selepas majlis pelancaran tersebut di Kuala Lumpur baru-baru ini.

KOSMO!: Boleh jelaskan secara ringkas perkembangan terbaharu PIL?
Hareeff: Sepanjang 26 tahun sejak mula berope­rasi pada tahun 1997, kami telah memiliki sebanyak 33 cawangan yang mana 16 daripadanya terdapat di hospital di bawah IHH.

Kami juga beroperasi di luar hospital IHH iaitu di makmal di seluruh negara kecuali Perlis. Secara keseluruhan, kami memiliki sebanyak 4,500 pelanggan yang terdiri daripada general practitioner (GP), klinik dan hospital swasta serta hospital awam selain institusi penyelidikan se­perti Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

Pandemik melanda negara pastinya memberi satu cabaran besar kepada syarikat, apakah kesannya kepada syarikat?
Salah satu kejayaan yang amat membanggakan adalah kami te­lah bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) membuat sehingga dua juta saringan untuk memastikan pesakit mengalami gejala positif Covid-19 atau tidak.

Ujian tersebut telah menyumbang kepada lapan pe­ratus daripada jumlah saringan di seluruh negara.

Pandemik telah memberi kelebihan kepada syarikat kerana kami memperoleh dana ekoran terlalu banyak saringan serta ujian yang perlu dilakukan.

Oleh itu, kami telah mendapat pelbagai peralatan canggih dan moden bagi membolehkan kami membuat lebih banyak ujian dan kajian yang baharu.

Sebelum ini di Malaysia, susah untuk kami membuat kajian dan ujian tetapi pandemik ini telah membantu kami untuk melakukannya dan disebabkan itu juga, kakitangan kami terus belajar dan mendapat pelbagai ilmu serta maklumat bagi melaksanakan kajian ber­kenaan.

Gambar hiasan

Apakah kajian baharu yang boleh dilakukan sekarang?
Kami boleh membantu kerajaan untuk membuat saringan kanser pangkal rahim yang mana sebelum ini, ramai yang tidak dapat melakukannya sebab ada beberapa cabaran untuk membuat pengumpulan sampel.

Ada juga dalam kalangan masyarakat kita yang tidak peka dan prihatin tentang saringan tersebut.

Sehubungan itu, kami telah be­kerjasama dengan kerajaan untuk me­ningkatkan kesedaran kepada masyarakat khususnya tentang saringan bagi penyakit berbahaya itu.

Sebelum ini, sudah dua tahun kami bekerjasama dengan KKM kerana kementerian ada mewujudkan program saringan kanser pangkal rahim.

Terdapat klinik kesihatan yang terlibat dalam program ber­kenaan dan mempromosikannya kepada umum. Klinik kesihatan tersebut akan mengumpul sampel dan menghantar kepada kami. Kami akan membantu dari segi melakukan ujian kerana mereka tidak memiliki kapasiti yang mencukupi.

Berapakah segmen perkhidmatan yang ditawarkan?
Kami melakukan pelbagai jenis ujian dan hingga kini terdapat 3,000 ujian serta ujian tersebut dilaksanakan oleh 10 hingga 12 makmal.

Berbanding sebelum ini, kami terkenal kerana menawarkan perkhidmatan saringan kesihatan bagi Agensi Pemantauan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema) selama dua tahun, kemudian kami berkembang kepada makmal klinikal dan sekarang makmal kami mempunyai perkhidmatan ujian yang komprehensif dan ini adalah tanggungjawab kami untuk menawarkan perkhidmatan yang lengkap dan berkualiti kepada pelanggan.

Adakah perkhidmatan dalam bidang saringan di Malaysia setanding dengan negara jiran?
Industri pelancongan perubatan di Malaysia berkembang dengan baik dan kami turut menyumbang kepada pertumbuhan tersebut kerana syarikat memiliki kepakaran dan kualitinya telah diperakui pada standard yang lebih baik atau berada pada paras sederhana dengan negara jiran se­perti Singapura.

Kos perubatan di Malaysia juga murah berbanding di negara jiran. Kami memainkan peranan dalam membantu membuat saringan bagi pelanggan di luar negara khususnya untuk penyakit kan­ser dan sampel diterima dari Brunei dan Filipina.

Gambar hiasan

Melihat kepada permintaan yang baik diterima dari luar negara, adakah syarikat mahu mengembangkan operasi ke pasaran antarabangsa?
Kami sememangnya bercadang untuk mengembangkan operasi ke luar negara seperti di Brunei, Filipina dan Indonesia serta Vietnam.

Sebelum ini mereka telah menghantar sampel dan telah menyuarakan cadangan kepada kami agar membuka makmal di sana. Kami sedang mencari rakan kongsi di sana, kami tidak mahu bersaing dengan pemain di sana.

Apa perancangan terbaharu syarikat?
Kami dalam perancangan untuk membuka makmal di luar hospital milik IHH. Dalam tempoh enam hingga 12 bulan, kami bercadang untuk membuka sehingga tujuh makmal baharu. Kami berharap dapat menambah antara 45 hingga 50 makmal dalam tempoh lima tahun akan datang. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN