fbpx
SITI SUZIYANI menunjukkan ubat-ubatan dan surat pengesahan doktor berkaitan penyakit buah pinggang ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Kuin, Kuantan, kelmarin.

Siti Suziyani perlu RM3,000 buat tapak dialisis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUANTAN – Seorang wanita merayu bantuan sebanyak RM3,000 untuk memasang Kateter Vena Pusat (CVC), saluran khas cuci darah di bahagian dada selepas saluran yang dipasang di bahagian leher dijangkiti kuman dan menyebabkan pendarahan ketika dialisis.

Siti Suziyani Zakaria, 41, yang hampir 19 tahun menderita penyakit buah pinggang berkata, dia disahkan menghidap penyakit itu ketika berusia 22 tahun selepas mengalami pelbagai simptom termasuk kencing berbuih, demam berulang, badan lemah, muntah-muntah serta bengkak pada muka dan kaki.

“Ketika itu saya bekerja sebagai penyelia di sebuah syarikat swasta. Saya tidak tahu simptom yang dialami sebenarnya petanda penyakit buah pinggang ­kerana kurang pendedahan me­ngenai penyakit ini.

“Keadaan menjadi semakin ­serius apabila saya mengalami sesak nafas, air kencing bercampur darah dan akhirnya tidak sedarkan diri sebelum koma selama dua minggu di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA),” katanya ketika ditemui di ­rumahnya di Kampung Bukit Kuin di sini, ­kelmarin.

Siti Suziyani memberitahu, ketika itu, doktor terpaksa ­melakukan pelbagai prosedur kecemasan termasuk mengeluarkan cecair berlebihan dari badan bagi menyelamatkan nyawanya selepas buah pinggangnya gagal berfungsi.

Tambahnya, sebelum ini dia menjalani rawatan dialisis ‘peritoneal’ atau cuci air hampir 18 tahun, namun terpaksa menghentikan rawatan tersebut selepas dijangkiti kuman pada bahagian perut yang menjadi tapak rawatan berkenaan.

Katanya, dia telah dua tahun menjalani rawatan cuci darah sebanyak tiga kali seminggu dengan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang membantu membiayai pembinaan saluran dialisis pada bahagian tangan.

“Namun saluran yang dibuat terlalu kecil menyebabkan prosedur tersebut tidak berjaya. Doktor kemudian memasang saluran sementara di leher, tetapi ia dijangkiti kuman sehingga mengeluarkan nanah serta menyebabkan pendarahan ketika sesi rawatan dialisis,” jelasnya.

Siti Suziyani yang masih bujang itu berkata, dia kini tinggal bersendirian di rumah pusaka arwah ibu bapanya dan hanya bergantung kepada bantuan Jabatan ­Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan untuk menampung kos pengangkutan ke pusat dialisis serta ­keperluan harian.

Katanya, bantuan daripada abang dan kakaknya banyak meringankan beban, namun mereka juga berdepan masalah kesihatan masing-masing termasuk penyakit jantung sehingga me­nyukarkan mereka membantu dari segi kewangan.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan bagi membantu kos pembedahan CVC Suziyani boleh berbuat demikian melalui akaun CIMB Bank bernombor 06100001482204 atas nama Siti Suziyani Zakaria.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN