fbpx

Bunuh budak: Ibu mangsa hantar anak untuk dijaga Mei lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kedua-dua suspek dibawa ke Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh untuk direman bagi membantu siasatan kematian seorang budak lelaki di sebuah rumah di kawasan Cheng, Melaka semalam.

MELAKA – Seorang lelaki berhati binatang dipercayai tergamak menendang kepala dan perut seorang budak yang juga anak kekasihnya sehingga tengkorak dan organ dalaman mangsa pecah di rumah suspek di kawasan Cheng, di sini kelmarin.

Kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun itu terpaksa menanggung kesengsaraan sehingga tidak sedarkan diri selepas teruk ‘dikerjakan’ oleh teman lelaki ibu mangsa hanya kerana budak tersebut muntah di atas sofa kesayangan suspek.

Kejadian tragis itu berlaku selepas ibu mangsa menghantar anaknya ke rumah teman lelaki­nya di kawasan Cheng, di sini pada pukul 5.30 pagi kelmarin untuk berubat kerana kanak-kanak tersebut dikatakan me­ngalami muntah-muntah.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, berikutan kejadian itu, seorang ibu tunggal serta teman lelakinya direman selama tujuh hari bermula semalam selepas disyaki membunuh mangsa.

Menurutnya, kedua-dua suspek masing-masing berusia 24 dan 25 tahun ditahan di Unit Forensik Hospital Melaka pada pukul 8 malam kelmarin sejurus polis menerima laporan bedah siasat kematian kanak-kanak itu.

“Sebelum kejadian, polis telah dimaklumkan oleh pegawai perubatan hospital terbabit mengatakan telah menerima seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun di Zon Merah dalam keada­an tidak sedarkan diri pada pukul 6.50 pagi (kelmarin).

“Mangsa telah diberikan bantuan pernafasan selama satu jam 10 minit, namun tidak menun­jukkan sebarang tanda positif sebelum disahkan mening­gal dunia pada pukul 9.15 pagi.

“Pada pukul 10.30 pagi, mang­sa telah dibawa ke Unit Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan hasil laporan menunjukkan mang­sa mempunyai kesan kecederaan di bahagian kepala dan badan,” katanya dalam satu ke­nyataan semalam.

Menurutnya, hasil soal siasat ke atas wanita terbabit yang juga ibu mangsa mendakwa, dia telah membawa anaknya itu ke rumah teman lelakinya di kawasan Cheng, di sini pada pukul 5.30 pagi untuk berubat kerana anaknya dikatakan mengalami muntah-muntah.

“Bagaimanapun, pada pukul 6.20 pagi, dia dihubungi teman lelakinya yang memberitahu mangsa telah terjatuh serta tidak sedarkan diri.

“Wanita itu telah datang semula ke rumah terbabit untuk mengambil dan membawa mang­sa ke Hospital Melaka sambil ditemani suspek lelaki,” ujarnya.

Difahamkan, mangsa me­ngalami head and abdominal injuries due to blunt force trauma yang mana tengkorak dan organ dalam perutnya pecah dipercayai akibat ditendang dan perut ditekan secara agresif oleh suspek lelaki.

Kedua-dua suspek kini disiasat mengikut Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-kanak dan Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI