fbpx

Mosti, YIM sasar lebih ramai sukarelawan, projek inovasi menjelang 2030

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Arthur ketika sesi lawatan gerai pameran di Menara Mara tengah hari tadi.

KUALA LUMPUR – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) melalui Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) menyasarkan seramai 5,000 sukarelawan, 5,000 projek inovasi sosial dan 500 projek inovasi bakal direplikasi dan dikomersialkan menjelang tahun 2030.

YIM menerusi satu kenyataan hari ini berkata, Konvensyen Inovasi Sosial (KIS) 2023 yang dianjurkan bermula hari ini hingga 6 Julai 2023 di di Menara Majlis Amanah Rakyat (Mara), Kuala Lumpur adalah bertujuan untuk menghimpun para pemikir, inovator dan profesional dalam bidang inovasi sosial.

Seterusnya, konvensyen berkenaan juga dilihat dapat meningkatkan kolaborasi dan memperkukuh penyelesaian yang lebih berinovatif dalam mengatasi cabaran sosial yang dihadapi negara pada masa kini.

Timbalan Menteri Mosti, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, bagi menyemarakkan lagi Inisiatif Inovasi Sosial (MyIS) pada tahun ini, Mosti melalui YIM mengiktiraf pencapaian cemerlang para inovator melalui platform sedemikian.

Katanya, ia dapat menggalakkan rakyat berinovasi melalui kerjasama secara Quintuple Helix melibatkan kerajaan, industri, akademia dan masyarakat dengan tidak mengabaikan elemen alam sekitar.

“Inisiatif ini turut mengiktiraf para inovator sosial di Malaysia dalam penghasilan inovasi tempatan yang berasaskan Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) bermatlamatkan kesejahteraan masyarakat dan pembangunan mampan.

“Sepanjang tiga hari ini, KIS 2023 menyasarkan kunjungan seramai 1,000 orang daripada pelbagai latar belakang, penglibatan 150 inovator dari seluruh negara dan juga tiga penceramah antarabangsa daripada India dan Filipina untuk membincangkan idea-idea yang boleh diketengahkan dalam usaha untuk menjayakan inisiatif inovasi sosial di Malaysia.

“Konvensyen ini adalah medium penting kepada Mosti dalam usaha mempromosikan myIS sebagai salah satu aspek pembangunan STIE yang menyokong pertumbuhan ekonomi negara, mewujudkan bakat inovator sosial yang adaptif dalam pelbagai bidang sains dan teknologi seterusnya menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berteknologi tinggi menjelang tahun 2030,” katanya ketika Majlis Perasmian KIS 2023 di Hotel Premiera, di sini, pagi hari ini.

Antara program yang dilaksanakan semasa KIS 2023 adalah Seminar “Road to Entrepreneurial Leadership & Sustainability”, Social Innovation Future Tech Talent (Shift), Pocket Talk, pameran Inovasi dan sesi perkongsian inovator YIM dalam projek, Flexsilk serta Creativa.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YIM, Dr. Sharmila Mohamed Salleh berkata, YIM yang ditubuhkan pada tahun 2008 di bawah Mosti dilaksanakan bagi mendorong inovasi dan kreativiti di kalangan rakyat Malaysia khususnya kepada kanak-kanak, belia, wanita, masyarakat luar bandar, orang kelainan upaya (OKU), badan bukan kerajaan (NGO) dan golongan yang kurang berpendapatan boleh belanja (B40).

Jelas beliau, YIM yang bertindak sebagai penganjur ideal berperanan menghubungkan pelbagai pihak dengan menyediakan sebuah platform untuk mengenal pasti, membangun dan memadankan dana pembangunan inovasi kepada lebih 6,000 inovator di seluruh Malaysia.

“Peranan ini dilaksanakan melalui pemerkasaan kreativiti dan inovasi dengan membangunkan minda inovatif yang mengubah idea menjadi realiti serta mewujudkan sistem sokongan mampan yang boleh menghasilkan faedah ekonomi, seterusnya meningkatkan kesejahteraan masyarakat.

“Inisiatif ini memperkasakan inovasi sosial dan pelaburan impak sosial bagi mengenal pasti penyelesaian yang bermanfaat terhadap masyarakat melalui Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) yang mana kita memberi keutamaan kepada dua bidang perkhidmatan iaitu pembangunan produk dan perkembangan bakat.

“Kita turut memadankan inovasi dengan pelbagai dana strategik dalam meningkatkan keupayaan dan kapasiti organisasi ke tahap yang lebih tinggi,”ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berharap peserta KIS 2023 untuk terus memberi inspirasi antara satu sama lain dan menerapkan pelbagai idea yang berinovatif.

“Marilah kita menjadi ejen perubahan dalam masyarakat dengan mengimplementasikan solusi inovatif yang telah ditemukan dan bekerja bersama untuk mencapai impak yang signifikan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI