PERKEMBANGAN teknologi kejuruteraan mekanikal terus memainkan peranan penting dalam meningkatkan kecekapan operasi industri khususnya bagi makmal serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Salah satu inovasi terkini yang diketengahkan ialah pembangunan mesin pengimbang (balancing machine) yang lebih kos efektif dan mudah diakses.
Mesin pengimbang ialah alat yang digunakan untuk mengesan dan membetulkan ketidakseimbangan (imbalance) pada objek yang berputar seperti kipas, roda dan turbin.
Inovasi ini juga merupakan kajian oleh Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) melalui penerbitan dalam Jurnal Kejuruteraan Mekanikal dan Sains.
Menurut salah seorang penulis kajian, Dr. Mohd. Firdaus Hassan, inovasi ini bukan sahaja memberi impak kepada sektor industri berat, malah membuka peluang baharu kepada usahawan-usahawan PKS untuk meningkatkan keupayaan teknikal tanpa bergantung kepada kos tinggi perkhidmatan luar.
“Dalam konteks industri, proses pengimbangan amat penting bagi memastikan komponen berputar seperti rotor, kipas, turbin dan aci berfungsi dengan stabil serta selamat.
“Ketidakseimbangan boleh menyebabkan getaran berlebihan, kerosakan struktur dan penurunan prestasi mesin,” katanya menerusi kertas kajian itu.
Dalam industri PKS juga terdapat objek-objek berputar khususnya pada mesin-mesin tertentu yang beroda. Industri makanan misalnya yang melibatkan penggunaan mixer dan conveyor roller.
Mesin pengimbang berfungsi dengan meletakkan objek yang berputar tersebut dan ia akan memapar nilai berat yang diperlukan seterusnya menunjukkan lokasi untuk ditambah pemberat bagi memastikan putaran lancar dan stabil.
Tambahnya, cabaran utama yang dihadapi oleh PKS ialah kos tinggi untuk mendapatkan perkhidmatan pengimbangan daripada pihak luar, selain keperluan memindahkan komponen ke lokasi tertentu yang boleh menyebabkan gangguan operasi dalam tempoh panjang.
Sehubungan itu, kajian pihaknya memperkenalkan reka bentuk mesin pengimbang jenis mendatar yang bersifat mudah alih, mesra pengguna dan boleh dipasang sendiri (DIY).
Reka bentuk ini memberi penekanan kepada aspek mekanikal yang praktikal dengan komponen utama seperti sistem sokongan galas lembut (soft bearing), plat asas, sistem rel serta motor dengan sistem takal dan tali sawat.
Pendekatan ini membolehkan pengguna membina mesin sendiri dengan kos jauh lebih rendah berbanding mesin komersial, sekali gus menjadikannya sesuai untuk kegunaan makmal dan PKS di Malaysia.

“Salah satu kelebihan utama inovasi ini ialah kos pembinaannya yang dianggarkan sekitar RM11,698, tidak termasuk sistem pengukuran dan instrumentasi.
“Jumlah ini dianggap berpatutan berbanding kos mesin industri yang jauh lebih mahal. Tambahan pula, reka bentuk modular dan fleksibel membolehkan penambahbaikan dilakukan mengikut keperluan pengguna, termasuk integrasi sistem pengukuran berasaskan perisian pada masa hadapan,” ujarnya.
Kongsinya lagi, ini menjadikan mesin tersebut bukan sahaja mampu milik tetapi juga berpotensi untuk terus berkembang selari dengan kemajuan teknologi.
Dari sudut teknikal, analisis dinamik yang dijalankan menunjukkan bahawa mesin ini beroperasi dalam keadaan stabil tanpa gangguan daripada frekuensi getaran luar.
Frekuensi semula jadi mesin didapati jauh lebih tinggi berbanding frekuensi operasi motor, sekali gus memastikan ketepatan proses pengimbangan.
Ciri ini amat penting bagi menjamin hasil pengimbangan yang konsisten dan berkualiti tinggi terutama dalam aplikasi industri yang memerlukan ketepatan tinggi.
“Pembangunan mesin pengimbang kos efektif ini membuktikan inovasi kejuruteraan tidak semestinya memerlukan kos tinggi untuk memberikan impak besar.
“Dengan pendekatan reka bentuk praktikal, fleksibel dan mampu milik, teknologi ini berpotensi memperkasa PKS serta institusi penyelidikan dalam meningkatkan keupayaan teknikal mereka,” terangnya.















