fbpx

Tragedi kepala air: Identiti lapan mangsa hilang dikenal pasti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar Azizah sekeluarga yang dipercayai lemas akibat dihanyutkan fenomena kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, Kemaman.

KEMAMAN – Tujuh individu yang masih hilang dipercayai dihanyutkan fenomena kepala air di Jeram Mawar, Air Putih dekat sini pada kelmarin dikenal pasti sebagai Karim Abdullah, 39, dan enam anaknya termasuk lima perempuan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, Karim merupakan suami kepada Azizah Eiyi, 40, yang mayatnya dijumpai dihanyutkan ke sungai berhampiran Kampung Pasir Gajah di sini semalam.

“Enam lagi anak pasangan itu yang masih hilang ialah Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18; Putri Alleya Maisarah Karim, 16; Putri Nor Fatin Karim,14; Putri Nurerina Natasya,10; Muhammad Haziqah Ziqree Karim,6, dan Putri Aryana Umaira Karim, 4.

“Seorang lagi mangsa dikenali sebagai Muhammad Fikri Salman, 24, berasal dari Batu Pahat, Johor yang merupakan tunang Putri Balqis Izzati,” katanya di sini hari ini.

Hanyan berkata, mayat Muhammad Zulqarnain Haikal, 11, yang merupakan anak keempat pasangan itu telah dijumpai tersangkut pada sebatang pokok kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian pada pukul 5 petang semalam.

Tambah beliau, keluarga tersebut menetap di Felda Lepar Hilir, Gambang, Kuantan namun Karim mahir dengan kawasan Jeram Mawar yang terpencil dan tiada liputan telekomunikasi kerana sering bekerja mengendalikan jentera berat di kawasan hutan berhampiran.

“Kita percaya Muhammad Fikri dan Putri Balqis menaiki motosikal jenis SYM manakala lapan sekeluarga lain pula memasuki kawasan perkelahan terbabit dengan kereta Proton Gen 2 pada pukul 2 petang, Sabtu lalu.

“Kejadian kepala air yang menghanyutkan kesemua mangsa berkemungkinan berlaku antara pukul 5 dan 6 petang,” katanya.

Dalam pada itu, Hanyan memberitahu, operasi mencari dan menyelamat yang dihentikan pada pukul 8 malam tadi ekoran hujan lebat dan ancaman haiwan buas akan disambung semula pada pukul 8 pagi ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI