fbpx

Lelaki buta buktikan berjaya buka pusat refleksologi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairruddin (kiri) tetap berbangga dengan kemampuannya memiliki sebuah pusat refleksologi di Ipoh sekalipun bergelar OKU masalah penglihatan.

IPOH – Menjadi buta pada usia muda tidak sesekali menghalang seorang pemuda untuk bangkit dan membina kehidupan sendiri sehingga mampu menjadi usahawan dan menjadi pemilik sebuah pusat refleksologi.

Khairruddin Mazli, 32, yang buta sepenuhnya pada usia 20 akibat penyakit glaukoma me­ngakui, dia sedikitpun tidak pernah menyesal dengan nasib yang menimpa, sebaliknya kekura­ngan itu dijadikan pendorong untuk dia meneruskan kehidupan.

Katanya, dia mula menghidap penyakit tersebut tiga bulan sebelum mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2008 dan disahkan menjadi orang kelainan upaya (OKU) kategori penglihatan ketika usianya 20 tahun.

“Siapa sangka saya akan menghidap penyakit ini sehingga disahkan buta. Seluruh ahli keluarga bersedih sebaik mereka dimaklumkan mengenai nasib yang menimpa saya.

“Bagaimanapun, saya reda dan cuba pandang ke hadapan sehingga akhirnya berjaya membuka sebuah pusat refleksologi di Ipoh pada 2017,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

Khairruddin berkata, selepas buta sepenuhnya, dia tidak mampu lagi untuk meneruskan pengajiannya dalam bidang mekatronik industri dan terpaksa berhenti belajar di sebuah institusi pengajian tinggi swasta pada 2010.

Selepas itu, katanya, dia mengambil masa dua tahun untuk bangkit semula dan mula bergaul lebih rapat dengan rakan-rakan OKU yang lain.

“Menerusi pergaulan itu, mereka mencadangkan agar saya belajar refleksologi, jadi dari situ saya mendalami ilmu berkaitan menerusi program anjuran Persatuan Orang Buta di Brickfields, Kuala Lumpur dan Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak).

“Akhirnya, pada 2015, saya mula berniaga dengan menawarkan khidmat rekfleksologi secara kecil-kecilan di Padang Polo, Ipoh sebelum beralih ke Bulatan Amanjaya setahun kemudian,” tambahnya.

Khairruddin berkata, pada mulanya dia gagal mendapat pelanggan selama sebulan kerana persepsi yang timbul dalam kalangan orang ramai bahawa orang buta tidak pandai mengurut selain suka menipu.

“Bagaimanapun, selepas ada pelanggan yang mula berurut dan dia memberi respon yang positif, baharulah ramai yang mengambil khidmat yang saya ditawarkan.

“Berbekalkan simpanan yang diperoleh, saya melabur sebanyak RM30,000 untuk membuka pusat refleksologi di Meru, Ipoh yang terus beroperasi sehingga ke hari ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI