SUKA atau tidak, isu pemain warisan tidak pernah basi dan masih lagi menjadi topik perbincangan.
Ada yang cuba berlapang dada, ada yang marah, ada mengkritik dan ada juga tampil melontarkan pandangan, namun semua itu menjadi asas untuk menzahirkan rasa cakna peminat kepada bola sepak negara.
Apa yang membelenggu arena bola sepak negara sudah pun mencetuskan rasa marah dan kritikan pedas tetapi jangan ‘meloncat’ bila mendengar cara penyampaian sebaliknya lihat kepada apa isi tersirat mahu disampaikan.
Contoh paling mudah untuk difahami, mana-mana ibu bapa di dunia ini pernah memarahi waima merotan anak, namun itu bukan benci tetapi mahu pimpin ke arah lebih baik.
Perkara positif ketika situasi sekarang adalah masih wujud kehadiran peminat ke stadium bagi menyaksikan kelab pilihan bermain atau pun Harimau Malaya beraksi dan walaupun jumlahnya mungkin kecil.
Tidak boleh dinafikan ada sesetengah kritikan agak keterlaluan termasuk dengan melancarkan ‘serangan’ kepada individu tertentu dan cara ini tidak wajar disokong sama sekali kerana ia langsung tidak membantu apa-apa.
Pada dasarnya, semua ini sudah pun menunjukkan menjadi bukti ketara bola sepak Malaysia belum lagi ‘mati’ cuma apa ‘ubat’ dan kaedah yang perlu diketengahkan bagi menyelamatkan sukan nombor satu ini.
Negara kita memberikan kebebasan bersuara dan tidak salah untuk peminat menyatakan kebimbangan, kritikan dan pandangan tertentuan selagi ia
tidak bertentangan dengan undang-undang.
“Jika terdapat komen atau kritikan terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atau Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk memperbaikinya, tiada apa yang salah. Ia pengetahuan umum dan ia adalah isu kepentingan awam.
“Komen-komen itu adalah terhadap sesebuah organisasi, bukan individu tertentu. Semua orang di negara ini membicarakannya, jadi jangan
tersinggung dan menafikan kebebasan bersuara.
“Sesiapa sahaja boleh bercakap dengan bebas di negara kita, selagi ia tidak menghasut dan memfitnah. Selagi undang-undang negara dipatuhi, tiada isu,” kata pemerhati sukan negara, Datuk Dr. Pekan Ramli.
Walaupun agak perit untuk menerima apa yang melanda negara, semua pihak berkepentingan tetap harus menelan dan jadikannya sebagai titik tolak kepada kebangkitan semula bola sepak negara khususnya pasukan kebangsaan.
Pemerhati bola sepak tempatan, Profesor Madya Dr. Zulakbal Abd. Karim berkata, perkara paling penting adalah mendapatkan sesuatu daripada isu yang berlaku seterusnya merangka perancangan akan datang dengan lebih baik.
“Sekarang bukan lagi masa untuk kita meratapi kerana benda sudah jadi dan sekarang kita kena mula merangka pelan jangka masa panjang. Usah tambah garam lagi ke atas luka yang kita hadapi.
“Betul, boleh dikatakan sekarang menjadi peluang untuk kita dapatkan semula keyakinan peminat selepas kita dihidangkan apa yang sudah berlaku. Benda sudah jadi dan kita sudah pun terima hukuman,” katanya.
Buat masa sekarang, sebelum berlakunya pemilihan pucuk pimpinan baharu, segalanya lebih tertumpu bagaimana perubahan statut FAM seperti yang pernah disarankan oleh Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC).














