fbpx
Dari kiri, Naib Presiden Capgemini Engineering, Arnab Das; Afizulazha; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Telenor Group, Sigve Brekke; Idham dan Ketua Pegawai Pemasaran ZTE Corporation Malaysia, Tey Khang Lian bergambar selepas sesi Meja Bulat CEO MY5G 2023 hari ini.

CelcomDigi lancar Siri MY5G, pacu penerimaan 5G

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) hari ini melancarkan sesi pertama daripada tiga bahagian Siri Meja Bulat CEO MY5G 2023, sebagai sebahagian daripada siri CelcomDigi MY5G bagi membantu perniagaan meyedari potensi sebenar 5G di Malaysia.

Dengan kerjasama daripada rakan strategik CelcomDigi dan pemerkasa teknologi global iaitu Axiata, Telenor, Capgemini, Ericsson, Huawei, Kearney, Microsoft, dan ZTE siri meja bulat itu melibatkan perkongsian mengenai cara perniagaan global terkemuka memanfaatkan kuasa 5G serta teknologi disruptif seperti AI dan IoT untuk mendigitalkan perniagaan.

Ia menjadi wadah bagi barisan pimpinan tertinggi syarikat-syarikat awam, swasta dan badan korporat terkemuka dalam pelbagai industri di Malaysia untuk saling berkongsi idea dan berinteraksi mengenai kerelevanan 5G bagi perniagaan dan industri tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi berkata, usaha memacu penggunaan 5G di Malaysia memerlukan kerjasama daripada syarikat korporat, sektor awam, pemerkasa teknologi dan juga pembekal khidmat keterhubungan.

“Ketika negara memperluas akses kepada 5G, penting bagi kita untuk mempertingkatkan usaha masing-masing dalam membangunkan ekosistem 5G di negara ini.

“Kolaborasi dan libat urus antara perniagaan yang merentasi pelbagai industri adalah mustahak, dengan harapan untuk memperkasa penggunaan 5G di Malaysia di samping menyokong agenda digital negara.

“Kami ingin bekerjasama secara rapat dengan entiti-entiti perniagaan bagi merungkai potensi sebenar 5G, lalu menjana lebih banyak nilai dan manfaat buat para pengguna,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan CelcomDigi, Afizulazha Abdullah menyatakan susulan berkenan, pihaknya akan memperkenalkan acara persidangan perniagaan dan pameran teknologi 5G berskala besar di Kuala Lumpur dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Jelasnya, ia ditujukan kepada entiti-entiti korporat Malaysia serta perusahaan kecil dan sederhana, sejajar dengan usaha berterusannya untuk membantu perniagaan mengenal manfaat digitalisasi serta penggunaan dan aplikasi 5G.

Sebuah siri bengkel digital untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) juga akan dianjurkan di beberapa negeri sebagai sebahagian daripada inisiatif syarikat untuk membantu PMKS mendigitalkan perniagaan mereka. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN