DALAM Riwayat Tirmizi menyatakan: “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada hari al-Nahr (Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah SWT, selain daripada menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan mendapat reda Allah sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan ibadah berkorban).”
Bagi memperoleh keberkatan itu, umat Islam seluruh dunia perlu melaksanakan ibadah korban dengan menyembelih ternakan berkaki empat (Al-An’ am) seperti lembu, kambing dan unta.
Beberapa tahun kebelakangan ini, permintaan terhadap lembu hibrid atau lebih dikenali sebagai lembu sado sempena Aidiladha meningkat kerana dagingnya mampu diagihkan kepada lebih ramai penerima.
Penternak, pembekal dan penjual ternakan lembu sado, Muhammad Bakri Bukhari, 38, berkata, permintaan lembu ‘gergasi’ miliknya sempena Aidiladha kali ini naik sekali ganda berbanding tahun lalu.
Ujarnya, pada tahun ini, syarikat platform digital Muslim, Ikhlas.com membeli empat ekor lembu sado daripadanya dengan menyasarkan agihan daging kepada 3,000 orang penerima asnaf di sekitar Kuala Lumpur.
Menurut jejaka berasal dari Bera, Pahang itu, penambahan bilangan lembu sado dilakukan syarikat terbabit setelah berpuas hati dengan hasil agihan korban pada tahun lalu.
Hasil korban dua lembu bernama Goldberg dan Gemuk itu, seramai 1,500 orang asnaf berpeluang menjamah daging premium baka Charolais dan Limousin itu.
“Daging Gemuk seekor sahaja dapat diagihkan kepada 1,000 asnaf.
“Justeru pada kali ini, pihak Ikhlas.com mahu menambah bilangan lembu sado yang dikorbankan.
“Keempat-empat lembu itu dihantar ke Kuala Lumpur sebelum diserahkan kepada masjid-masjid terpilih di sana,” katanya kepada K2 sambil beramah mesra bersama duta Ikhlas.com, Datuk Rosyam Noor baru-baru ini.
Sebagai rekod, Gemuk yang diternak Muhammad Bakri memiliki berat mencapai 1.2 tan.
Lembu itu pernah mencipta fenomena apabila muncul sebagai ternakan paling berat dikorbankan pada tahun lalu di negara ini.
Pemenang gelaran King Of Sado dalam Himpunan Lembu Sado Pantai Timur 2022 di Pekan Jabi, Terengganu itu dianggarkan mempunyai nilai pasaran melebihi RM30,000.
Sejak 2018, Muhammad Bakri sudah menternak, membekal dan menjual lebih kurang 20 hingga 25 ekor lembu sado dengan pendapatan keseluruhan mencecah hampir setengah juta ringgit secara kasar.
Kira-kira enam hingga tujuh ekor lembu sado daripada jumlah keseluruhan digunakan untuk ibadah korban.
Lembu ‘gergasi’ boleh dijual seawal usia 25 bulan bermula pada harga RM15,000 hingga RM20,000 seekor (bergantung pada berat).

Harga tersebut berbeza dengan lembu tempatan yang bernilai lingkungan RM5,000 hingga RM6,000 seekor.
Kongsi Muhammad Bakri, lembu sado memiliki nilai lebih tinggi kerana dagingnya bersifat premium serta mampu diagihkan kepada lebih banyak penerima berbanding lembu biasa.
“Berat lembu ladang biasa dalam anggaran 300 hingga 400 kilogram (kg), manakala lembu sado pula sekali ganda daripada jumlah itu.
“Penjagaannya juga lebih rumit kerana keadaan fizikal yang besar dan kontot di bahagian kaki. Jadi, lembu ini tidak aktif dan berjalan lambat.
“Lembu ini tidak boleh dibiarkan bebas seperti lembu tempatan kerana nilainya sangat tinggi dan berpotensi dicuri,” ujarnya.
Untuk pengetahuan, lembu sado merupakan lembu hibrid hasil kacukan baka tempatan dan import dengan menggunakan teknik permanian beradas (AI).
Teknik AI mula diperkenalkan di negara ini sejak awal tahun 2000.
Teknik AI adalah memasukkan benih jantan baka elit ke dalam saluran pembiakan lembu betina tempatan secara manual tanpa pengawanan semula jadi.
Benih baka lembu yang diimport dari Perancis, United Kingdom, Australia dan Eropah itu akan disaring terlebih dahulu sebelum dibawa masuk bagi mengelak sebarang penyakit.
Benih beku dibawa menerusi tiub yang disimpan dalam tangki stok berisi cecair nitrogen supaya tahan lebih lama.
Benih tersebut diberikan secara percuma kepada penternak untuk menghasilkan ternakan hibrid yang kemudian dikategorikan sebagai lembu tempatan kerana dihasilkan di dalam negara.
Jelas Muhammad Bakri, penglibatannya dalam penternakan lembu sado bermula pada 2018, biarpun sudah mula menjadi penternak haiwan sejak 2009.
Antara baka yang pernah diternak oleh Muhammad Bakri menerusi pembelian induk atau teknik AI adalah baka Belgian Blue, Angus, Limousin dan Charolais.
Kongsinya, perbezaan antara baka-baka elit itu amat jelas terutamanya pada keadaan fizikal, sekali gus mempengaruhi permintaan terhadap lembu ‘gergasi’ berkenaan.
“Kulit Charolais berwarna putih bersih, Limousin pula berwarna coklat kemerahan, Angus berwarna hitam, manakala Belgian Blue berwarna putih kebiruan.
“Dalam banyak-banyak baka, saya paling suka Charolais kerana tumbesarannya lebih cepat dan permintaan tinggi,” jelasnya yang sering mendapatkan nasihat daripada veterinar bertauliah, Hariri Musa.
Bagi membesarkan lembu sado dengan daging berkualiti, ternakan tersebut diberi makan palet, jerami dan hijauan sebanyak dua kali sehari, selain dimandikan pada setiap pagi.
Sesekali dalam seminggu, lembu-lembu sado itu dibawa keluar dari kandang dan dibawa berjalan di tanah
lapang sebagai aktiviti senaman.
Pada setiap enam bulan, lembu-lembu berkenaan menerima suntikan vaksin secara berjadual untuk kawalan penyakit daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
Menurut bapa kepada lima orang anak itu, hasil pulangan ternakan lembu sado tidak terhad kepada hasil daging, malah pada rupanya.
“Selain memiliki nilai pasaran tinggi berdasarkan kualiti dagingnya, lembu sado juga sering dipertandingkan dalam acara-acara melibatkan penternakan.
“Dari situ datangnya semangat untuk saya terus mengusahakan lembu jenis ini. Setelah Gemuk menang tahun lalu, saya lebih dikenali dan rezeki semakin bertambah,” katanya.
Selain lima ekor lembu sado yang berbaki setakat ini, Muhammad Bakri juga menternak lebih 200 ekor lembu tempatan dan 80 ekor kambing daging.














