fbpx

19 individu ditahan terlibat sindiket tipu kerja sambilan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara barang yang dirampas polis dalam serbuan di Kajang, Selangor, semalam

KAJANG – Kegiatan sindiket ‘calling centre’ penipuan dalam talian yang menawarkan kerja sambilan tumpas setelah diserbu pihak polis di sebuah premis di sini semalam.

Sindiket yang mula beroperasi sejak sebulan lalu itu menyasarkan mangsa warga Vietnam dengan menawarkan kerja sambilan yang tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, mangsa akan dihubungi dengan menggunakan aplikasi Zalo (platform sosial yang berpangkalan di Vietnam) sebelum ditawarkan kerja sambilan dengan membuat tugasan pembelian melalui laman web e-dagang Vietnam palsu.

Susulan itu, sepasukan polis dari Bahagian Risikan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Bukit Aman bersama Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang membuat serbuan ke atas premis berkenaan.

“Seramai 19 individu lingkungan usia 18 hingga 45 tahun ditahan, terdiri daripada seorang warganegara China dan 18 warganegara Vietnam (12 lelaki dan enam perempuan).

“Hasil dari tangkapan yang dilakukan, polis merampas sebanyak 15 set komputer pelbagai jenama, 35 unit telefon bimbit pelbagai jenis, satu unit passport dan satu set kunci rumah bersama alat kawalan jauh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes ini disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Kesemua suspek tersebut dibawa ke Mahkamah Kajang bagi tujuan permohonan tahanan reman bagi membantu siasatan lanjut.

“Pihak polis ingin mengingatkan kepada mana-mana individu agar tidak bekerja dan menjadikan pekerjaan di pusat panggilan penipuan atas talian sebagai sumber pendapatan.

“Pekerjaan seperti ini adalah satu kesalahan jenayah dan mereka yang terlibat boleh dituduh di mahkamah.

“Kepada sindiket-sindiket penipuan atas talian yang cuba menjadikan daerah Kajang khasnya dan negeri Selangor amnya sebagai hub atau pusat aktiviti jenayah penipuan atas talian, pihak polis akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi dalam membanteras aktiviti jenayah mereka,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI