fbpx

Mahkamah: Kontraktor perabot dilepaskan, bebas tuduhan edar dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHEE KAY dibawa ke Mahkamah Tinggi Johor Bahru hari ini namun dilepaskan dan dibebaskan atas pertuduhan mengedar dadah pelbagai jenis, lima tahun lalu.

JOHOR BAHRU – Seorang kontraktor perabot dan renovasi terlepas hukuman gantung setelah Mahkamah Tinggi Johor Bahru di sini hari ini memutuskan lelaki itu dilepas dan dibebaskan daripada tiga pertuduhan mengedar dadah pelbagai jenis, lima tahun lalu.

Wong Shee Kay, 53, dibebaskan dan dilepaskan selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Hakim Datuk Abu Bakar Katar dalam penghakiman memaklumkan, mahkamah telah menimbangkan secara maksima semua keterangan yang dikemukakan oleh pendakwaan sepanjang perbicaraan dan menghalusi penghujahan bertulis atau lisan.

Abu Bakar berkata, pendakwaan gagal membuktikan tertuduh mempunyai kawalan atau jagaan ke atas dadah yang dijumpai dalam bonet kereta nombor pendaftaran JQJ3692.

Jelasnya, fakta tertuduh dikatakan mempunyai kunci kereta belum mencukupi bagi mengaitkan pemilikan dadah dengan tertuduh tanpa keterangan yang lainnya.

“Pendakwaan gagal memanggil pemilik kereta bagi menutup kelompangan yang ada berkaitan akses kepada kereta tersebut dan mahkamah berpendapat memandangkan pemilikan dadah gagal dibuktikan, anggapan pengedaran dadah di bawah Seksyen 37 (da) Akta Dadah berbahaya 1952 gagal diaktifkan,” katanya.

Justeru, Abu Bakar menjelaskan, tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada semua pertuduhan tanpa dipanggil untuk membela diri.

Mengikut ketiga-tiga kertas pertuduhan, Shee Kay didakwa mengedar dadah jenis heroin seberat 84.44 gram (g), Monoacetymorphines 116.1g dan Methamphetamine 1.7 kilogram.

Dia didakwa di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta yang sama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI