fbpx

Jenayah seksual bawah 18 tahun meningkat di Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hussein ketika melawat pameran sempena program kesedaran autisme di IPK Selangor. Foto oleh AFIQ RAZALI/ KOSMO!

SHAH ALAM – Kadar jenayah di Selangor mencatatkan peningkatan sebanyak lima peratus sepanjang Januari hingga Mei tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, antara kes menunjukkan peningkatan adalah jenayah seksual di kalangan pelajar bawah 18 tahun dan keganasan rumah tangga.

Menurutnya, berdasarkan rekod menunjukkan 5,779 kes sepanjang lima bulan tahun ini berbanding 5,484 dalam tempoh sama pada tahun sebelumnya.

“Kita percaya ini berlaku (kes jenayah seksual pelajar) susulan golongan itu mudah mendapat akses kepada media sosial tanpa kawalan daripada ibu bapa dan penjaga.

“Kurang kesedaran terhadap apa dan tidak boleh dibuat oleh ahli keluarga mereka sendiri juga mendorong berlakunya kes tersebut,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan penutupan program kesedaran autisme Polis Diraja Malaysia (PDRM) Selangor, hari ini.

Beliau menjelaskan, bagaimanapun kadar jenayah itu masih dalam keadaan terkawal dan dibawah Pelan Strategik PDRM.

Hussein menambah, pihaknya akan meningkatkan jumlah rondaan daripada pasukan Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di kawasan titik panas dan bersasar di negeri ini.

“Selain itu, kempen-kempen di sekolah dan beberapa kawasan bersasar turut akan diperbanyakkan selain mengukuhkan jaringan kerjasama dengan pihak badan bukan kerajaan (NGO) dan swasta, dalam usaha meningkatkan aktiviti pencegahan jenayah,” tegasnya.

Ketika mengulas program berkenaan, Hussein memberitahu, Polis Selangor bercadang untuk menubuhkan pusat autisme sendiri di kalangan warga PDRM di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

“Berdasarkan statistik, seramai 115 anggota dan pegawai mempunyai anak-anak autisme.

“Ini merupakan satu inisiatif untuk mewujudkan kesedaran dalam kalangan ibu bapa dalam mengurus anak dengan efektif supaya mereka tidak tercicir dalam perkembangan minda dan juga persekolahan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI