PUTRAJAYA – Barisan Nasional (BN) yakin tiada sebarang pertindihan kerusi dalam kalangan parti komponennya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan nanti.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, buat masa ini, proses agihan kerusi berjalan lancar dan tidak timbul sebarang isu mengenainya.
Beliau berkata, sejak sekian lama, BN menyelesaikan setiap agihan kerusi menerusi semangat musyawarah selain tidak menjangkakan akan berlaku pertindihan memandangkan perbincangan awal telah dilakukan.
“Mesyuarat pembahagian kerusi sudah diadakan dan setakat ini tidak timbul sebarang isu besar yang boleh menjejaskan persiapan parti menghadapi dua pilihan raya berkenaan.
“Ketika ini, kami hanya perlu memperkukuhkan lagi dari segi calon dan pada dasarnya tidak ada masalah yang besar,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Syarahan Umum oleh Pengarah Centre on Contemporary China and the World di Universiti Hong Kong, Profesor Li Cheng, di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE














