fbpx

Mahkamah: Permohonan reman ke atas Ketua Polis Daerah terima rasuah ditolak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SUSPEK dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Kuantan di Kuantan, Pahang hari ini.

KUANTAN – Mahkamah Majistret di sini menolak permohonan reman ke atas seorang Ketua Polis Daerah berhubung siasatan membabitkan kes rasuah berjumlah lebih RM1 juta.

Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman menolak permohonan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap pegawai kanan polis berusia 53 tahun itu.

Permohonan reman oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rifah Izzati Abdul Mutalif itu dibuat bagi membolehkan SPRM menjalankan siasatan lanjut berhubung dakwaan berkenaan.

Peguam mewakili suspek, Datuk Bob S. Arumugam berkata, anak guamnya itu dibebaskan berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi Temerloh sebelum ini yang memutuskan SPRM tidak boleh bergantung di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) untuk menahan reman suspek.

Katanya, SPRM sepatutnya mengemukakan permohonan reman menggunakan akta mereka sendiri iaitu Seksyen 49 Akta SPRM.

Tambahnya lagi, pihak SPRM boleh mengkehendaki suspek menandatangani bon atau ikat jamin jika mereka tidak dapat menyelesaikan siasatan.

“SPRM hanya mempunyai masa 24 jam untuk melengkapkan siasatan mereka sebelum membebaskan suspek,selepas permohonan reman mereka ditolak mahkamah.

“Ini bermakna mereka (SPRM) boleh menahan anak guam saya sehingga pukul 4 petang ini bagi tujuan siasatan,” katanya.

Ketua Polis Daerah yang juga merupakan pegawai polis kanan itu ditahan petang semalam ketika dipanggil untuk dirakam keterangan di pejabat SPRM Pahang.

Suspek dikatakan menerima suapan lebih RM1 juta sejak 2017 hingga 2022 bagi melindungi kegiatan pusat hiburan dan pusat urut yang beroperasi dalam daerah diketuainya.

Semalam, Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman memberitahu pihaknya mengesahkan tangkapan terbabit dan memberikan ruang kepada pihak SPRM untuk jalankan siasatan dan memberi jaminan tidak akan berkompromi dengan kegiatan salah laku, jenayah atau apa-apa perlanggaran undang-undang oleh pegawainya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI