fbpx

Kilang elektronik didenda RM30,000 buang sisa kimia di Sungai Melaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KUAN HO mengaku salah atas pertuduhan membuang sisa kimia di Sungai Melaka di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka, hari ini. Foto oleh SYAFEEQ AHMAD/ KOSMO!

MELAKA – Sebuah kilang elektronik diperintahkan membayar denda sebanyak RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan pencemaran sisa kimia ke dalam Sungai Melaka, tahun lalu.

Hakim Darmafikri Abu Adam membuat keputusan itu selepas Syarikat Syntronixs Asia Sdn. Bhd. selaku Orang Kena Saman (OKS) yang diwakili pengarahnya, Yong Kuan Ho, 53, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, syarikat tersebut didapati telah melepaskan efluen perindustrian melebihi had Piawaian B seperti mana ditetapkan ke dalam perairan pedalaman yang mana kandungan Biological Oxygen Demand (BOD) mempunyai kepekatan tinggi.

BOD dilepaskan sebanyak 77 mg/l (miligram per liter) melebihi had dibenarkan iaitu 50 ml/g seperti ditetapkan di bawah Peraturan 11(1)(b), Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian), 2009 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127)

Jika sabit kesalahan, OKS boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 11.10 pagi hingga 1 petang di No 8722, Plot 8, Kawasan Perindustrian Bebas Batu Berendam, Mukim Bachang, dalam daerah Melaka Tengah, pada 18 Ogos 2022.

Terdahulu, Peguam Christal Wong yang mewakili Kuan Ho merayu agar hukuman ringan dikenakan dengan pengakuan dibuat OKS telah menjimatkan masa dan kos pihak mahkamah.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Alam Sekitar Melaka, Elbyta Rozana Mohd Hatta bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan dengan mengambil kira kesalahan itu merupakan kesalahan keempat dilakukan syarikat tersebut.

Hujahnya, syarikat itu sebelum ini sudah didenda keseluruhan sebanyak RM85,000 kerana didapati melakukan kesalahan di bawah peraturan sama sebelum ini pada 2010, 2018 dan 2020.

Kandungan BOD yang tinggi di dalam badan air katanya, boleh mengakibatkan kandungan oksigen dalam air berkurang menjadikan hidupan akuatik tertekan, lemas dan mati.

Kemerosotan kualiti air Sungai Melaka juga akan meningkatkan kos kepada kerajaan untuk proses rawatan air kepada pengguna seterusnya menjejaskan aktiviti pelancongan di negeri ini.

Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah kemudian mengarahkan OKS membayar denda sebanyak RM30,000. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI