fbpx

Lelaki Bangladesh dijel tujuh bulan mengaku PATI, tipu polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Sufian dipenjara tujuh bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka, hari ini. - Foto oleh SYAFEEQ AHMAD / KOSMO!

MELAKA – Seorang lelaki warga Bangladesh dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah masuk ke negara ini secara haram dan membuat laporan polis palsu telah disamun, bulan lalu.

Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Mohamad Sufian, 52, yang membuat pengakuan tersebut sejurus dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh sebagai seorang bukan warganegara Malaysia telah masuk dan berada di negara ini tanpa sebarang pas yang sah di Jalan Kota, dalam daerah Melaka Tengah, kira-kira pukul 3 petang pada 20 Mei lalu.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan denda tidak kurang dari RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali serta boleh disebat sehingga enam kali, mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan dihukum di bawah Seksyen 6(3) akta yang sama.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didapati telah membuat laporan palsu kepada Koperal Aidawaty Hussin menyebabkan Inspektor Muhammad Haziq Fathe’li sebagai penjawat awam telah menggunakan kuasa yang sah di sisi undang-undang hingga menyebabkan kegusaran kepada orang lain.

Kesalahan itu dilakukan pada pukul 11.39 pagi di Pejabat Pertanyaan Balai Polis Tanjung Minyak dalam daerah Melaka Tengah, pada tarikh sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

Mengikut fakta kes, pengadu, Inspektor Muhammad Haziq menjalankan satu siasatan laporan polis yang dibuat tertuduh berkaitan dia disamun dua lelaki yang tidak dikenali.

Hasil siasatan bagaimanapun mendapati, laporan berkenaan palsu dan semakan cap jari dan biometrik tertuduh di Jabatan Imigresen mendapati lelaki itu tidak mempunyai dokumen diri dan merupakan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman ringan diberikan dengan alasan dia hanya bekerja di sebuah kilang, selain mempunyai isteri dan dua anak di Bangladesh.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri bagaimanapun memohon agar hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan masyarakat.

Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, Sharda kemudian menjatuhkan hukuman penjara tujuh bulan bagi kesalahan di bawah Akta Imigresen dan satu bulan penjara kerana membuat laporan palsu yang berjalan serentak dari tarikh ditangkap iaitu 20 Mei lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI