fbpx

Muda mahu letak calon di enam negeri PRN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AMIRA AISYA (tengah) menyampaikan khemah kepada salah seorang daripada 16 peniaga di PPR Desa Mutiara, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) sedang mempersiapkan calon dan jentera untuk terlibat dalam kesemua enam negeri yang bakal mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN), tidak lama lagi.

Timbalan Presidennya, Amira Aisya Abd. Aziz berkata, parti itu bagaimanapun belum mengadakan perbincangan berhubung perkara itu dengan Pakatan Harapan (PH) dan juga Barisan Nasional (BN).

Sehubungan itu, pihaknya berharap satu perbincangan dapat diadakan segera kerana kesemua pihak terlibat kini berada dalam blok kerajaan perpaduan.

“Bagi Muda, kita sudah kumpulkan maklumat daripada kepimpinan negeri berhubung berapa kerusi yang kami mahu bertanding di setiap negeri terlibat PRN, ia sedang diperhalusi.

“Tetapi sejujurnya, Muda masih belum terlibat dengan sebarang perbincangan berhubung PRN dengan PH mahupun BN, jadi kami harap ia dapat disegerakan kerana kita semua dalam kerajaan perpaduan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan khemah kepada peniaga di projek perumahan rakyat (PPR) Desa Mutiara, di sini hari ini.

Amira Aisya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa turut memberitahu, pihaknya akan menggunakan pengalaman yang diperoleh dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu untuk berdepan PRN akan datang.

“Kita telah kumpulkan maklumat sejak dua tahun lalu khususnya berdasarkan beberapa pilihan raya yang Muda telah sertai sebelum ini, itu semua akan digunakan untuk meningkatkan lagi kemampuan parti dan calon yang kita ketengahkan.

“Jadi saya yakin kita lebih bersedia untuk berdepan PRN di enam negeri ini,” ujarnya.

Muda mula terlibat secara langsung dalam politik tanah air selepas PRN Johor pada Mac tahun lalu, dimana Amira Aisya merupakan calon tunggal daripada parti itu yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Kemudian, Muda sekali lagi terlibat dalam PRU-15 yang diadakan pada November tahun lalu yang menyaksikan Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Muar.

Enam buah negeri yang bakal mengadakan PRN tidak lama lagi adalah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI