fbpx

Ibadah korban dibenarkan di masjid, surau serta pusat penyembelihan berdaftar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. FARED (kiri) menyampaikan sumbangan penghargaan kepada tokoh Qari Negeri Johor, Aziz Mustakim di Pusat Islam Iskandar, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri hanya membenarkan aktiviti korban sempena Aidiladha tahun ini dilaksanakan di masjid, surau dan pusat penyembelihan yang terpilih.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, kebenaran hanya dikeluarkan kepada masjid dan surau yang mempunyai ruang penyembelihan khusus dan lengkap.

Beliau berkata, masjid dan surau yang ingin menjalankan ibadah itu perlu mendapat kebenaran Pejabat Kadi Daerah dan pusat penyembelihan di bawah Pejabat Perkhidmatan Veterinar.

“Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) sudah mengeluarkan garis panduan berhubung pelaksanaan ibadah korban pada tahun ini dan telah diedarkan kepada Jabatan Kadi Daerah, masjid dan surau.

“Dianggarkan terdapat 838 masjid dan 1,900 surau di negeri ini. Permohonan bagi mendapatkan kebenaran pelaksanaan ibadah korban di masjid dan surau masih dibuka, sehingga 18 Jun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Multaqa Guru-Guru al-Quran Bersama Johan Qari dan Qariah Antarabangsa Negeri Johor di Pusat Islam Iskandar, di sini hari ini.

Mohd. Fared menjelaskan, bagi masjid atau surau yang tidak mempunyai kemudahan penyembelihan tetapi ingin menganjurkan ibadah korban, mereka perlu berurusan dengan pusat penyembelihan yang berdaftar.

“Kita faham tidak semua masjid dan surau mempunyai kelengkapan dan kemudahan untuk melaksanakan ibadah korban sebagaimana yang ditetapkan.

“Oleh itu, Jawatankuasa Pengurusan Kariah Masjid dan Surau boleh melakukan sembelihan di pusat penyembelihan dan masjid yang dibenarkan. Masjid dan surau itu hanya dibenarkan untuk aktiviti melapah, membungkus dan edaran sahaja,” katanya.

Tambahnya, rumah sembelihan berdaftar meliputi rumah sembelihan kerajaan, pusat sembelihan ruminan swasta berlesen dan pusat kebenaran sembelihan sementara mesti berdaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Johor dan Pejabat Perkhidmatan Veterinar Negeri.

Pada tahun lalu, Johor membenarkan aktiviti penyembelihan sempena ibadah korban di 153 Rumah Penyembelihan yang berdaftar dengan Pejabat Perkhidmatan Veterinar seluruh negeri ini.

Turut mendapatkan kebenaran ialah 64 masjid dan 68 surau yang mendapat permit dan digezetkan sebagai pusat aktiviti penyembelihan yang lengkap.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI