PETALING JAYA – Terdapat syarikat ternama yang sanggup mengerah tenaga pelajar praktikal untuk bekerja dari pagi sampai malam dan hujung minggu secara percuma untuk menjimatkan kos operasi.
Mendedahkan perkara itu, bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pelatih industri sentiasa menjadi pilihan kerana syarikat tidak perlu mengeluarkan bayaran elaun atau wang saguhati.
“Ada organisasi swasta yang ternama dan berjaya, mereka ambil sepasukan ‘tentera’ anak muda untuk menjalani latihan industri tanpa dibayar elaun semata-mata untuk mengurangkan kos operasi syarikat,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Ahli Parlimen Muar itu menjelaskan, tindakan mengerah keringat pelajar tanpa dibayar elaun lebih-lebih lagi bagi syarikat ternama dianggap memalukan.
Justeru, beliau menggesa pelatih industri yang berdepan masalah itu supaya tampil.
Beliau berkongsi pengalaman berdepan pelajar yang terpaksa mengikat perut, malah lebih teruk terpaksa berhenti kerana kekangan sumber kewangan.
“Ada mahasiswa yang terpaksa menggunakan apa sahaja sumber termasuk duit ibu bapa.
“Lepas sebulan praktikal, mereka terpaksa berhenti kerana tiada wang. Ada juga yang tinggal lima hingga lapan orang dalam satu bilik untuk jimat,” katanya.
Tambahnya, golongan mahasiswa hari ini terpaksa bergelut dengan kos sara hidup yang tinggi seperti sewa rumah.
Oleh itu, katanya, sudah tiba masanya pihak berkaitan menggubal akta bagi melindungi pelajar praktikal dengan mengenakan tindakan tegas terhadap majikan yang sengaja mengeksploitasi mahasiswa.
“Ia harus dimulakan dengan sektor awam sebelum diperluas kepada syarikat swasta.
“Saya rasa ini adalah satu bentuk pengkhianatan buat orang muda. Kenapa masih ada syarikat tidak bayar elaun sedangkan Kabinet pada 2019 telah mewajibkan ketetapan itu,” katanya.
Tambah Syed Saddiq, pada tahun sama, jemaah menteri turut memperuntukkan dana tambahan sebanyak RM10 juta bagi tujuan tersebut dan akan ditambah dari masa ke masa.
“Lepas ini saya akan mengusulkan supaya ada pindaan ke atas Akta Pekerja supaya kita boleh terus ambil tindakan dan heret mereka yang ingkar ke mahkamah. Kita mula dengan sektor kerajaan dahulu kemudian swasta,” tegasnya.
Syed Saddiq turut menggesa orang muda supaya bangkit dalam memperjuangkan isu ini secara bersama-sama.














