fbpx

Penjual petai maut dilanggar selepas jatuh motosikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN motosikal mangsa yang remuk dalam nahas di Kilometer 315, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dekat Tapah semalam.

TAPAH – Gara-gara terlanggar ‘box’ sebuah motosikal berkuasa tinggi, seorang lelaki maut dilanggar kenderaan selepas terjatuh di atas jalan di Kilometer 315, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini semalam.

Kejadian sekitar pukul 8.30 malam itu mengorbankan penjual petai, S. Mathavan, 37, di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, nahas membabitkan motosikal jenis Honda EX5 ditunggang mangsa dan sebuah motosikal jenis BMW ditunggang pasangan suami isteri yang beralamat di Cameron Highlands, Pahang.

Katanya, ketika kejadian, suami isteri itu dalam perjalanan dari arah Cameron Highlands menuju ke Ipoh manakala motosikal ditunggang mangsa pula dari Tapah ke Ipoh.

“Apabila sampai di tempat kejadian, motosikal berkuasa tinggi itu mengalami kerosakan iaitu tayar pancit dan telah berhenti di lorong kecemasan.

“Mangsa yang datang dari arah belakang kemudiannya melanggar ‘box’ sebelah kanan motosikal tersebut dan terjatuh di lorong kiri sebelum dilanggar kenderaan yang masih belum diketahui nombor pendaftaran dan jenisnya.

“Akibat kemalangan itu, mangsa cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pasangan suami isteri itu tidak cedera,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat.

Katanya, kedua-dua kenderaan terlibat juga telah disita untuk pemeriksaan Puspakom dan usaha sedang dilakukan bagi mengesan saksi bebas bagi membantu siasatan.

“Kita juga akan melihat rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di kawasan berdekatan. Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI