BATU PAHAT – Seorang ibu melalui detik paling memilukan dalam hidupnya apabila hanya mampu menggigil dan longlai sebaik menyedari sekujur tubuh yang terbaring kaku di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Maimon di Parit Sulong, tengah hari semalam adalah anaknya sendiri.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.40 tengah hari itu, Asmilah Tugiran, 38, datang seperti biasa untuk menjemput anak sulungnya, Nur Aini Umairah Mohd Fareez, 8, selepas tamat sesi persekolahan.

Namun, sebaik tiba, suasana di hadapan sekolah yang dipenuhi murid dan guru yang mengerumuni satu mayat tidak sedikit pun menimbulkan syak di hatinya bahawa mangsa adalah darah dagingnya sendiri.
Menurut Asmilah, dia hanya dimaklumkan oleh seorang guru bahawa mangsa merupakan murid Tahun Dua.
“Pada mulanya saya langsung tidak terfikir itu anak saya. Tapi bila saya tengok lebih dekat, saya nampak kasut yang dipakai. Saya terus menjerit… saya kenal kasut itu. Itu kasut anak saya,”katanya dalam nada tersekat-sekat.
Jeritan itu seolah-olah memecah segala harapan, apabila naluri seorang ibu akhirnya mengesahkan kehilangan yang tidak mungkin diganti.
Dalam keadaan lemah, Asmilah kemudian memaklumkan kejadian itu kepada bapanya, Tugiran Loso, 67, yang juga datuk kepada mangsa.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan dalam kejadian pada pukul 12.30 tengah hari semalam, Nur Aini Umairah maut selepas dipercayai dilanggar sebuah van di hadapan sekolah berkenaan.-KOSMO! ONLINE














