PETALING JAYA – Aktiviti melancong ke luar negara menjadi trend dalam kalangan rakyat negara ini kerana dianggap berbaloi dan mempunyai banyak lokasi menarik untuk dilawati.
Pekerja swasta, Nurul Huda Nabilah Mohd. Radzi, 29, berkata, dia sanggup menghabiskan ribuan ringgit dengan mengasingkan separuh daripada pendapatan bulanan untuk melancong ke negara orang.
“Saya memang minat melancong, banyak perkara yang boleh kita lihat dan belajar di sana selain budaya orang. Tahun ini (setakat Mei), saya sudah melancong ke India, Indonesia dan Thailand,” katanya.
Menurutnya, dia memilih destinasi luar negara kerana lebih berbaloi.
“Sebelum ini saya melawat tempat menarik di Malaysia, namun kebelakangan ini, saya mula berjinak ke luar negara. Dari segi kos, lebih berbaloi.
“Sebelum ini, saya pergi ke Sabah dengan bajet RM2,000 untuk percutian empat hari. Tetapi kos percutian di Indonesia dan Thailand selama seminggu jauh lebih murah,” jelasnya.
Wanita itu menghabiskan RM4,000 untuk bercuti selama 10 hari di India termasuk tiket penerbangan.
Sementara itu, jurufoto, Muhammad Nor Khair, 32, berkata, dia dan isterinya melancong ke Jepun setiap tahun kerana tertarik dengan negara tersebut
“Kos ke Jepun tidak mahal dan ia boleh dilakukan dengan bajet serendah RM4,000. Kami sudah dua kali ke Jepun.
“Saya suka budaya dan gaya hidup di sana sangat teratur dan penduduknya sopan,” katanya.
Lelaki itu merancang untuk berkunjung ke Jepun buat kali ketiga pada tahun hadapan.
Bagi Aisyah Syakirah Azmi, 26, melancong luar negara menjadi pilihan terutama di Asia Tenggara.
“Saya banyak habiskan masa dan duit melawat Indonesia, Thailand, Vietnam dan Kemboja. Ini kerana, kos melancong dalam negara lebih mahal dari segi tiket dan makanan,” jelasnya.














