PETALING JAYA – Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia berpendapat bahawa kerajaan perlu memberi ruang iaitu lokasi berniaga kepada para peniaga kecil yang tidak sempat menghabiskan stok jualan Aidilfitri yang lalu.
Presidennya, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, pihaknya menerima aduan daripada peniaga bahawa mereka hanya mendapat keuntungan 20 hingga 30 peratus hasil berniaga pada Ramadan.
“Kalau modal peniaga RM1,000, mereka untung RM200 hingga RM300 sahaja. Bagi peniaga makanan kita lihat mereka raih keuntungan disebabkan orang ramai tidak memasak di rumah pada Ramadan, namun bagi yang menjual barangan kering seperti baju raya, kerongsang dan sebagainya memang mereka terjejas teruk.
“Mereka mengalami kerugian kerana tidak dapat menjual barangan, stok masih lagi banyak. Saya pernah minta supaya mana-mana kawasan agar mereka dapat berniaga, jual barangan dengan harga berpatutan dan pulangan modal.
“Saya juga berpendapat mereka boleh dibenarkan berniaga di platform kerajaan seperti di Putrajaya,” jelasnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Menurutnya, majoriti keluhan serta aduan diterima pihaknya adalah di kawasan bandar terutama Kuala Lumpur.
Tambahnya, beliau ambil maklum fenomena kerugian serta barangan tidak terjual itu berlaku rentetan masyarakat ingin berjimat-cermat selain faktor kewangan susulan Covid-19 yang melanda negara sebelum ini.
“Kunjungan memang ramai ketika Ramadan, namun mereka hanya melihat-lihat barangan.
“Selaku Presiden, saya ambil kira jika di bandar keadaan sebegini rupa maka begitu juga di kawasan lain khususnya luar bandar mahupun pedalaman.
“Sebelum ini, saya juga ada membuat permohonan baharu kepada Majlis Bandaraya supaya memberi ruang kepada peniaga yang masih mempunyai stok barang niaga yang lepas dan ini adalah salah satu inisiatif untuk bantu peniaga,” jelasnya.
Katanya, peniaga-peniaga besar pun turun padang untuk menghabiskan stok-stok mereka, apatah lagi peniaga kecil.
“Saya cadangkan agar peniaga pula perlu menjual lebihan stok dengan harga yang berpatutan atau lebih rendah berbanding sebelum ini berikutan raya pun dah habis,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE














