PUTRAJAYA – Kadar kesihatan rakyat Malaysia semakin membimbangkan apabila data menunjukkan 110 orang didiagnos menghidap pelbagai jenis kanser sehari dengan wanita dilaporkan sebagai gender paling tinggi dijangkiti barah membunuh.
Antara kanser yang paling banyak dan kerap dihidapi termasuk payudara, kolorektal (usus besar dan rektum) prostat, paru-paru serta rahim.
Institut Kanser Negara (IKN) mendedahkan, dapatan itu diperoleh melalui data terkini yang dikumpul oleh Registri Kanser Kebangsaan Malaysia dengan 18,240 kes baharu lelaki menghidap kanser kolorektal, paru-paru dan prostat pada 2024.
Katanya, dalam kalangan wanita pula, sebanyak 21,958 kes kanser baharu dilaporkan pada tahun sama dengan tiga kanser utama melibatkan payudara, kolorektal dan rahim.
Difahamkan, jumlah itu menjadi 110 kes sehari jika dicampurkan untuk mendapatkan jumlah sepanjang tahun.
“Daripada segi kematian pula, berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, kanser merupakan penyebab kematian ketiga tertinggi di Malaysia pada tahun 2024, dengan 19,180 kematian direkodkan,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.
Tiga kanser utama yang menyumbang kepada kematian akibat kanser melibatkan paru-paru, kolorektal dan payudara.
Menurut IKN, bagi kadar kelangsungan hidup (survival rate) pula, kajian Jabatan Registri Kanser Kebangsaan mendapati secara keseluruhan 55 peratus wanita yang didiagnosis dengan kanser masih hidup selepas lima tahun diagnosa.
“41 peratus lelaki yang didiagnosis dengan kanser pula masih hidup selepas lima tahun diagnosa.
“Bagi sesetengah kanser seperti payudara, kadar kelangsungan hidup boleh meningkat secara ketara sekiranya kanser dikesan di peringkat awal dan menerima rawatan lengkap,” katanya.
Menurut IKN, kajian survival dilaksanakan dalam kalangan pesakit IKN turut mendapati mereka menerima rawatan menunjukkan kadar survival lebih baik terutama apabila dikesan pada peringkat awal.
“Sebagai contoh, bagi pesakit kanser payudara yang dikesan pada Tahap 1 dan Tahap 2, kadar kelangsungan hidup lima tahun boleh mencapai sehingga 98 peratus.
“Ini membuktikan bahawa pengesanan awal dan akses kepada rawatan yang berkualiti memainkan peranan penting dalam meningkatkan peluang pesakit untuk sembuh dan meneruskan kehidupan secara produktif,” katanya.
Mengulas lanjut, IKN berkata, kanser merupakan penyakit yang berpunca daripada pelbagai faktor dan bukan disebabkan oleh satu faktor tunggal.
“Antara faktor risiko utama kanser termasuk peningkatan usia selain tabiat merokok yang merupakan faktor utama bagi kanser paru-paru dan beberapa jenis kanser lain.
“Selain itu, pemakanan tidak sihat termasuk pengambilan makanan tinggi lemak, gula dan makanan diproses secara berlebihan turut berisiko menghidapi penyakit itu,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai rawatan untuk pesakit kanser, IKN berkata, prosesnya melibatkan rawatan sistemik meliputi ubatan seperti kemoterapi dan terapi sasaran selain radioterapi.
“Sebagai contoh, bagi sistemik terapi, rawatan tidak hanya bergantung kepada suntikan atau kemoterapi, sebaliknya ubatan yang bersifat ‘targeted’ yang mampu merawat kanser dengan bertindak kepada sifat khusus penyakit seperti EGFR mutation positive untuk kanser paru-paru tahap 4.
“Ia mampu memanjangkan jangka hayat pesakit dan tidak lagi perlu bergantung kepada suntikan memandangkan ubatan ini dalam bentuk tablet,” katanya.
Bagaimanapun, jelas IKN, mesej paling penting ialah kanser tidak semestinya membawa maut yang mana banyak jenis kanser mempunyai peluang rawatan dan kelangsungan hidup yang tinggi sekiranya dikesan awal.
Semalam Kosmo! melaporkan seorang guru, Nurulhuda Mohd. Hasim, 42, bersikap positif dan sentiasa tersenyum walaupun sedang bertarung melawan lima kanser tahap akhir iaitu payudara, tulang rusuk, hati, paru-paru serta keabnormalan di bahagian otak.














