fbpx

OPR naik, pengguna diingat jangan buat hutang baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Orang ramai membeli barang keperluan harian di Pasar Raja Bot, Chow Kit, Kuala Lumpur baru-baru ini. – Gambar hiasan

PETALING JAYA – Pakar ekonomi mengingatkan orang ramai agar tidak membuat hutang baharu apabila dibebani dengan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang dilihat memberi impak kepada orang ramai.

Walaupun ramai terkesan termasuk ada penyewa rumah yang mengeluh apabila pemilik rumah mula menaikkan kadar sewa bulanan atas alasan komitmen pinjam bank mereka meningkat, hutang baru patut dielakkan ketika ini.

Pakar Ekonomi dari Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr. Anuar Shah Bali Mohamed berkata, kenaikan OPR baru-baru ini tidak dinafikan membebankan banyak pihak.

Katanya, hal itu berlaku ke­rana kadar pendapatan orang ramai ketika ini masih kekal dan tidak seiring dengan kenaikan kadar pinjaman.

“Kenaikan gaji tidak sama dengan kenaikan OPR, memang be­tul OPR tinggi sebelum ­Co­vid-19 tetapi ketika itu ekonomi agak kuat, tetapi sekarang ini masih ramai yang terkesan akibat pandemik.

“Jumlah orang yang terjejas pendapatannya masih lagi tinggi, mereka yang lewat membayar pinjaman yang tertangguh me­ningkat dengan ketara,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad di sini semalam.

OPR sebelum ini telah naik sebanyak lima kali selepas pandemik Covid-19 menyebabkan peminjam bank berdepan kenaikan ansuran bulanan anggaran sehingga RM400 sebulan sejak kenaikan itu.

Justeru itu kata Anuar, terdapat beberapa langkah yang boleh diambil bagi mengelak terpe­rangkap di dalam bebanan kewangan yang melampau.

“Antara langkah yang perlu diambil ketika ini ialah, elak buat hutang baru. Kalau ambil hutang yang banyak, tidak akan selesaikan masalah dan elakkan diri daripada terlibat dengan riba.

Anuar berkata, pemberian gaji yang progresif juga perlu dipercepatkan kerana rakyat tertekan ketika ini apabila pendapatan masih sama tetapi perbelanjaan semakin meningkat.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Bahagian Ekonomi Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Dr. Abdul Rais Abdul Latiff berkata, kerajaan perlu memikirkan langkah strategik bagi membantu golongan M40 dan B40 yang terbeban.

“Selain daripada BNM me­ningkatkan OPR, mungkin pada masa yang sama kerajaan boleh gunakan dasar fiskal untuk membantu golongan yang betul-betul terkesan.

“Bantu mereka yang berdepan kesukaran sehingga menyebabkan mereka berada dalam keada­an tekanan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI