PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman di Istana Negara hari ini.
Perkembangan itu dikongsikan menerusi Facebook, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pagi ini.
Turut hadir dalam sesi mengadap tersebut ialah Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan (KPPP), Leftenan Jeneral Datuk Fazal Abdul Rahman.
Menurut kenyataan yang dikongsikan, pertemuan antara Seri Paduka Baginda dan kepimpinan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu berlangsung selama hampir sejam di Istana Negara.
Terdahulu, Panglima ATM antara penerima Darjah Kebesaran Panglima Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran Tan Sri sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, pada 1 Jun lalu.
Turut menerima Darjah Kebesaran PMN ialah Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail dan Ahli Penasihat Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Dr. Daing A. Malek Daing A. Rahman. – KOSMO! ONLINE














