JOHOR BAHRU – Selepas tular senarai calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semalam, hari ini tersebar pula senarai cadangan calon-calon MCA.
Menerusi senarai yang tular itu, seramai 15 calon dinamakan termasuk kerusi untuk Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong di Dewan Undangan Negeri (DUN) Skudai.
Sementara itu, 14 kerusi DUN lain melibatkan kawasan Jementah (Tay Kok Wea), Bekok (Tan Chong), Tangkak (Ong Chee Siang) dan Bentayan (Chua Lee Huat).
Turut dinamakan semula sebagai calon ialah Timbalan Pengerusi MCA Johor, Ling Tian Soon yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor untuk mempertahankan kerusi Yong Peng.
Selain itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor, Lee Ting Han pula bertanding di kawasan baharu di Penggaram.
Sementara di Mengkibol (Warren Yap Zhi Peng), Paloh (Gan Han Wei), Puteri Wangsa (Tan Tuan Peng), Johor Jaya (Chan San San), Stulang (Bong Seng Heng) dan Perling (Tan Hiang Kee).
Ini termasuk Timbalan Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA Malaysia, Chua Jian Boon akan bertanding di Senai dan Pekan Nanas (Heng Zhi Li).
Senarai tersebut turut mempunyai kepala surat daripada Jawatankuasa Perhubungan MCA Johor.
Dalam pada itu, media sedang mendapatkan pengesahan berhubung senarai itu daripada Tian Soon.
Semalam Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menafikan senarai calon BN Johor itu dan mengesahkannya sebagai palsu. – KOSMO! ONLINE














