DHAKA – Bangladesh menaikkan harga bahan api semalam, enam minggu selepas kenaikan sebelumnya ketika kerajaan berusaha mengurangkan tekanan kewangan disebabkan perang Asia Barat.
Bangladesh mengimport kira-kira 95 peratus keperluan bahan apinya, dengan sebahagian besar bekalan datang dari Asia Barat.
Harga minyak tanah naik kepada 135 taka (RM4.36) seliter, berbanding 130 taka (RM4.20) sebelum ini, manakala petrol meningkat kepada 140 taka (RM4.52) daripada 135 taka (RM4.36) untuk satu liter. Harga diesel bagaimanapun tidak berubah.
Pihak berkuasa juga mempertimbangkan untuk sekali lagi menaikkan tarif elektrik.
Kenaikan harga bahan api terbaharu itu dijangka menambah lagi tekanan terhadap kos barangan asas di Bangladesh. Negara itu bergelut dengan inflasi tinggi yang berterusan sejak beberapa tahun lalu.
Bangladesh mencatatkan kadar inflasi 9.04 peratus pada April lalu.
Pada Mac lalu, Dhaka menyatakan sedang mencari pinjaman sekitar AS$2 bilion (RM7.9 bilion) daripada pelbagai penderma untuk menangani masalah keterjaminan tenaga yang dicetuskan oleh lonjakan harga bahan api akibat perang ke atas Iran. – AFP














