fbpx

OPR naik tidak jadikan rakyat Malaysia muflis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Tindakan Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada paras 3.0 peratus bukanlah faktor penyumbang kepada peningkatan individu muflis di negara ini.

Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, tiada sebarang data yang menyokong dakwaan yang menyatakan OPR menyebabkan lebih ramai rakyat Malaysia akan muflis.

Jelasnya, secara agregat, isi rumah terus memegang aset kewangan melebihi hutang yang membolehkan mereka menguruskan kos pinjaman yang lebih tinggi.

“Saya ingin menegaskan bahawa tidak benar kenaikan OPR menyebabkan peningkatan muflis,” katanya pada sidang akhbar pengeluaran statistik Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Suku Tahun Pertama 2023 di Sasana Kijang, di sini hari ini.

Selain itu, gabenor bank pusat itu turut mengakui bahawa kenaikan OPR ini turut menyebabkan terdapat segmen dan sektor yang memerlukan bantuan kerana situasi semasa mereka.

“Bagaimanapun adalah tepat pada masanya, perlu dan wajar bahawa dasar monetari ditentu ukur semula untuk memastikan Malaysia terus berada di landasan pertumbuhan yang mampan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Nor Shamsiah memaklumkan kenaikan OPR bukan sebagai langkah untuk menguntungkan bank, sebaliknya bagi memastikan kedudukan bank-bank di negara ini kekal teguh, sekali gus dapat menjalankan aktiviti pengantaraan kewangan dengan baik.

“Kedudukan bank-bank yang teguh juga akan meningkatkan lagi keyakinan pendeposit terhadap prestasi bank.

“Anda tahu apabila pendeposit hilang keyakinan seperti dalam kes Silicon Valley Bank (SVB) di Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini akan memberi kesan kepada ekonomi dan sistem kewangan. Kita tidak mahu keadaan sedemikian berlaku,” ujarnya.

Beliau turut menjelaskan, kenaikan OPR tidak semestinya memberi keuntungan besar kepada bank kerana bank juga perlu membayar faedah kepada pendeposit pada kadar yang lebih tinggi dengan kenaikan OPR.

“Tetapi tidak nafi ada bank yang mendapat manfaat dari segi peningkatan pendapatan berkaitan faedah, namun ia bergantung kepada pinjaman yang ditawarkan bank sama ada berkadar tetap atau terapung.

“Kalau bank mempunyai lebih banyak pinjaman pada kadar tetap, pendapatan faedah akan meningkat, tetapi faedah yang dia perlu bayar kepada pendeposit juga akan meningkat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI