KUALA TERENGGANU – Kadar perceraian pasangan Muslim di Terengganu menunjukkan peningkatan kira-kira 36 peratus dengan 3,810 kes direkodkan pada tahun lalu berbanding 2,798 kes pada tahun 2024.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Mohd. Noor berkata, kadar perceraian yang berlaku pada tahun lalu merupakan tertinggi di Terengganu dalam tempoh tujuh tahun.
Beliau berkata, sebagai perbandingan, cuma 1,803 kes penceraian dicatat dalam pasangan Muslim Terengganu pada tahun 2023.
“Data Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia turut meletakkan Terengganu dalam kelompok lapan negeri tertinggi (penceraian) bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun lalu.
“Ini bukan sekadar angka statistik, tetapi amaran kepada krisis sosial,” katanya ketika membahaskan titah Pemangku Raja Terengganu pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini hari ini.
Zuraida berkata, majoriti pasangan yang bercerai tersebut merupakan golongan muda dengan tempoh perkahwinan di bawah 10 tahun.
Beliau berkata, kebanyakan perceraian yang berlaku tersebut disebabkan tekanan ekonomi, kegagalan komunikasi dan ketidakstabilan emosi. – KOSMO! ONLINE














